Hafizh Syahrin Abdullah semakin hampir untuk meraih kemenangan ketiga di litar Padang Kota Lama, Pulau Pinang dengan apabila dia menguasai sesi ujian masa Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011, hari ini.
Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline itu mencatatkan masa terpantas 46.492 saat yang dilakukannya pada pusingan kesembilan mengatasi Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing, kedua dengan catatan 46.936s diikuti Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) ketiga, 47.202s.
Hafizh, juara perlumbaan kategori Expert/CP130 pada tahun 2009 dan 2010 di litar ini menjelaskan, "Saya berpuas hati dengan catatan yang dilakukan hari ini kerana saya berjaya memperbaiki catatan masa yang dilakukan dalam setiap sesi. Sewaktu sesi latihan bebas pertama saya mencatatkan 46.921s dan kemudian memperbaikinya kepada 46.572s dan sekali lagi melakukan catatan yang lebih pantas sewaktu sesi ujian masa. Keadaan jentera juga begitu baik dan cukup kompetitif. Namun saya akan melakukan sedikit pertukaran terutama di bahagian suspensi depan yang masih belum cukup selesa bagi saya," jelas pelumba 17 tahun itu.
Hafizh yang akan bertindak selaku pelumba terakhir pada sesi Superpole berkata, "Saya sudah cukup bersedia untuk menghadapi perlumbaan akhir dan berusaha untuk mempertahankan kemenangan saya di sini.Saya juga mahu mencatat masa sepusingan terpantas sewaktu perlumbaan memadam catatan lama milik Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing). Selain itu, jika menang, saya dapat meningkatkan kedudukan saya dalam senarai keseluruhan di samping dapat membantu untuk melonjakkan kedudukan pasukan dalam senarai keseluruhan berpasukan. Tentang siapa yang mampu menghalang hasrat saya, ia bergantung kepada sesi Superpole esok kerana apa sahaja boleh berlaku nanti," jelas Hafizh.
Dalam kategori CP115, selepas muncul pelumba terpantas pada pusingan lepas di Sepang, Sasitharen Sukumaren sekali lagi muncul pelumba terpantas apabila mengungguli sesi ujian masa dengan melakukan catatan 47.916s.
Catatan pelumba M-Seki Liberty Honda Racing itu 0.052s lebih pantas berbanding catatan yang dilakukan pendahulu keseluruhan, Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM yang mencatatkan 47,968s diikuti Mohd Farid Ahmad (Global Bike Rock Oil Racing), 48.102s.
Pelumba 20 tahun itu menjelaskan, "Keadaan jentera saya begitu baik seperti ketika di Sepang, cuma di Sepang nasib saya tidak begitu baik apabila terjatuh sewaktu perlumbaan akhir. Saya mahu menebus kesilapan tersebut dengan meraih kedudukan podium di sini. Saya tidak akan melakukan sebarang perubahan terhadap jentera, cuma akan menukar strategi sewaktu perlumbaan nanti bagi memastikan saya berjaya menamatkan perlumbaan di atas podium," jelas Sasitharen yang mencatat keputusan terbaik musim ini ketika muncul naib juara Pusingan 8 di Melaka.
Sementara itu, dalam kategori Wira, Mohd Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang muncul pelumba terpantas apabila menjadi pelumba tunggal melakukan catatan di bawah 49 saat dengan catatan 48.896s yang dilakukannya pada pusingan kesembilan.
Catatan kedua terpantas menjadi milik Tengku Amirul Haffiruddin dari pasukan Pennzoil Malaysia Racing dengan catatan 49.124s diikuti Fakhrusy Syakirin Rostam dari pasukan AAP Mazoil Faito Racing ketiga, 49.132s.
Adib yang gagal mempertahankan gelaran juara keseluruhan yang dimenanginya pada tahun lalu setelah Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) mengesahkan gelaran pada pusingan lepas jelas gembira dengan catatan yang dilakukannya hari ini. "Pasukan saya berjaya mengatasi masalah mekanikal yang saya alami pada dua perlumbaan sebelum ini iaitu ketika di Melaka (Pusingan 8) dan Sepang (Pusingan 9) sehingga menyebabkan saya gagal merebut sebarang mata pada kedua-dua perlumbaan tersebut. Saya cukup berpuas hati dengan catatan hari ini dan yakin masih ada ruang untuk saya memperbaikinya dan melakukan catatan terpantas sekitar 48.5s," jelas Adib yang mahu menjejakkan kaki di atas podium pada perlumbaan terakhirnya dalam kategori Wira pada musim ini.
Dalam saingan Cabaran Honda Wave Junior, Mohd firdaus Zainol muncul pelumba terpantas dengan catatan 52.619s diikuti Hamizan Noordin kedua, 53.407 dan Suhaizarul Suhaizat ketiga, 53.449s.
Dalam saingan Piala Yamaha EgoLC PETRONAS, pendahulu keseluruhan, Mohd Shafiq Rasol muncul pelumba terpantas dengan catatan 57.348s diikuti pesaing terdekatnya, Mohd Nasri Ishak kedua dengan catatan terpantas 57.754s dan Mohd Izrul Huzaime Amran ketiga, 57.915s.
Kelas Persendirian pula menjadi saksi Ang Beng Seang muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 51.022s diikuti Mohd Imran Zulkafli dengan 51.025s dan Husni Kahar Khuri 52.171s.
No comments:
Post a Comment