jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, December 7, 2011

Norizman Champions CP130 Cub Prix 2011

Norizman Ismail (tengah) meraikan gelaran juara selepas memenangi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Penang.

PENANG - Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 berakhir dengan menyaksikan Norizman Ismail dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori CP130 dengan kejayaan menjejakkan kaki di atas podium dalam perlumbaan sengit berlangsung di Penang Esplanade, Pulau Pinang, hari ini.


Walaupun bermula di petak ketujuh, pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu berjaya menempatkan dirinya di atas podium apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan masa keseluruhan 12 minit 02.099 saat manakala Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) berjaya mempertahankan kemenangannya buat kali ketiga berturut-turut di litar Padang Kota Lama sejak tahun 2009 dengan masa 11:40.831s diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) di kedudukan kedua dengan 11:55.945s.


Jumlah 16 mata yang dipungut pada perlumbaan terakhir musim ini membolehkan Norizman mengekalkan kedudukan di tangga teratas dengan mengumpul 129 mata menewaskan rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli di tangga kedua dengan 111 mata manakala Muhaimin ketiga dengan 108 mata.


Gembira dengan kejayaan kedua dalam kategori perdana selepas bergelar juara pada tahun 2005, Norizman berkata, “Tidak ada apa yang boleh menggambarkan betapa gembiranya saya hari ini. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan, penaja, mekanik dan juga keluarga serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” kata pelumba berasal dari Sungai Buloh itu.


Bercakap tentang perlumbaan, “Pada peringkat awal segalanya tidak begitu lancar. Saya gagal mencatatkan masa terbaik pada ketika Superpole dan terpaksa bermula di petak ketujuh. Selepas itu saya hanya meletakkan sasaran untuk mengutip seberapa banyak mata yang termampu dan berada di hadapan Affendi. Namun selepas Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing Malaysia) sedikit terbabas pada selekoh terakhir, saya mengambil peluang tersebut untuk memintas dan seterusnya berjaya menjejaki podium.”


Menceritakan tentang perasaannya selepas memenangi gelaran kedua selepas tewas kepada Hafizh musim lepas, Norizman menambah, “Saya begitu berpuas hati kerana berjaya memenangi perlumbaan kategori CP130/Expert buat kali kedua tambahan pula ini hanya merupakan musim kedua saya bersama Honda. Ini membuktikan bagaimana kami berjaya menunjukkan peningkatan begitu ketara sepanjang dua tahun ini. Saya pasti semua orang di dalam pasukan ini mempunyai perasaan sama kerana kami berjaya menggondol kedua-dua gelaran individu dan berpasukan pada musim ini.”


Dalam Anugerah Berpasukan Keseluruhan, Harian Metro TEQ SCK Honda Racing menamatkan saingan musim ini di tangga teratas dengan 232 mata diikuti Yamaha Maju Motor Racing yang mengumpul 182 mata dan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline ketiga, 174 mata.


Dalam kategori CP115, perlumbaan penamat di tempat keempat sudah cukup buat Shahril Izzuwan Mohd Noor merangkul gelaran juara keseluruhan di hadapan penyokongnya sendiri pada musim ini setelah mengumpul 141 mata mengatasi Zaidy Mohd Zaifaizal dari pasukan Motul Yamaha YY Pang di kedudukan kedua dengan mengumpul 120 mata mata. Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) dengan 98 mata.


Pelumba PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM yang hanya perlu menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di tempat kesembilan untuk bergelar juara keseluruhan bagaimanapun tetap tampil cemerlang pada perlumbaan kali ini dengan memulakan perlumbaan di petak pertama namun sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan masa keseluruhan 9:44.843s akibat mengalami sedikit masalah mekanikal terhadap jenteranya.


Perlumbaan dimenangi oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan Yamaha CKJ Sukimi dengan masa keseluruhan 9:43.568s. Tempat kedua menjadi milik Mohd Farid Ahmad dari pasukan Global Bike Rock Oil Racing dengan masa keseluruhan 9:43.649s diikuti rakan sepasukan Emir, Sasitharen Sukumaran ketiga, 9:44.424s.


Shahril yang gembira dengan pencapaiannya berkata, “Pada peringkat awal lagi saya memang yakin mampu bergelar juara pada perlumbaan kali ini memandangkan jurang perbezaan mata diantara saya dan Zaidy agak jauh. Selain berpuas hati dengan merangkul gelaran juara keseluruhan, saya juga gembira menamatkan perlumbaan terakhir musim ini dengan menduduki tempat keempat,” jelas pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.


Menjawab tentang perancangannya pada musim akan datang, Shahril berkata, “Kemungkinan saya akan beraksi dalam kategori CP130 bersama pasukan saya ketika ini. Namun semuanya masih dalam perancangan dan belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya.”


Pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM (Shahril/Mohd Hafieenaz Mohd Ali) turut merangkul gelaran Anugerah Berpasukan Keseluruhan dengan mengumpul 229 mata menewaskan pasukan Motul Yamaha YY Pang 2 (Zaidy/Mohd Azhar Abd Jalil) kedua, 201 mata dan Motul Yamaha YY Pang 1 (Mohd Rozaiman Mohd Said/Mohd Adli Salihin) ketiga, 161 mata.


Dalam kategori Wira, Mohd Adib Rosley mengubat kekecewaan gagal mempertahankan gelaran keseluruhan dengan meraih gelaran juara pada perlumbaan terakhir dengan catatan masa keseluruhan 9:43.568s.


Pelumba Motul Yamaha itu menewaskan Fakhrusy Syakirin Rostam dari pasukan AAP Mazoil Faito Racing di tangga kedua dengan masa keseluruhan 8:17.328s diikuti Tengku Amirul Haffiruddin (Pennzoil Malaysia Racing) ketiga, 8:18.015s.


Dengan gelaran juara keseluruhan menjadi milik Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing), Adib menjelaskan, “Saya agak kecewa kerana kurang bernasib baik pada musim ini terutama pada dua perlumbaan sebelum ini ketika di Melaka (Pusingan 8) dan Sepang (Pusingan 9) kerana gagal memungut sebarang mata pada kedua-dua perlumbaan tersebut sehingga menyebabkan saya gagal mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenangi pada tahun lepas.  Namun begitu, saya berpuas hati dan gembira kerana sasaran saya untuk memenangi perlumbaan terakhir pada musim ini menjadi kenyataan,” jelas Adib yang akan beraklih ke kategori CP115 pada musim hadapan.


Dengan 25 mata yang dieprolehi hari ini, Adib kekal di tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 126 mata. Juara Wira 2011, Zulsyafiz Rosli mendahului kedudukan dengan mengumpul 159 mata diikuti Mohd Hafiza Rofa di kedudukan kedua dengan 129 mata.


Keputusan Perlumbaan
CP130
1)Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) 11:50.831s (2)Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) 11:55.945s (3)Norizman Ismail (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) 12:02.099s (4)Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) 12:03.009 (5)Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) 12:03.064s


CP115
1)Ahmad Afif Amran (Yamaha CKJ Sukimi) 9:43.568s (2) Mohd Farid Ahmad (Global Bike Rock Oil Racing) 9:43.649s (3) Sasitharen Sukumaran (M-Seki Liberty Honda Racing) 9:44.424s (4)Shahril Izzuawan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM)9:44.848s (5)Mohd Hafieenaz Mohd  Ali (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) 9:50.871s


Wira
1)Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang) 8:17.073s (2)Fakhrusy Syakirin Rostam ( AAP Mazoil Faito Racing) 8:17.328s (3)Tengku Amirul Haffiruddin (Pennzoil Malaysia Racing) 8:18.015s (4)Mohd Hafiz Nor Azman (Honda Promax X-Dot Racing) 8:22.649s (5)Mohd Shafiq Rasol (Faito YSP Racing) 8:24.017s


Cabaran Honda Wave Junior
1)Mohd Amim Abu Osman 9:02.377s (2)Mohd Robilfirli Azmin 9:07.466s (3)Mohd Zulfakri Rosli 9:11.094s (4)Mohd Arif Abd Rahman 9:11.573s (5)Mohd Firdaus zainol 9:12.058s


Piala Yamaha EgoLC PETRONAS
1)Mohd Nasri Mohd Ishak 9:43.709s (2)Mohd Amirul Rasol 9:47.673s (3)Mohd Izrul Huzairie Amran 9:56.762s (4)Mohd Shafiq Rasol 9:56.914s (5)Mohd Izzat Mohd Abdul Hakim 9:57.428s




Kedudukan Keseluruhan
CP130
1)Norizman Ismail (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) 129 mata (2) Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) 111 mata (3)Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) 108 mata (4) Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) 107 mata (5)Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing) 90 mata


CP130 Anugerah berpasukan
1)Harian Metro TEQ SCK Honda Racing – 232 mata (2) Yamaha Maju Motor Racing  – 182 mata (3) PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline – 174 mata (4)PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM – 174 mata (5)Pennzoil Racing Team–167 mata


CP115
1) Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) 141 mata (2) Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang) 120  mata (3) Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) 98 mata (4)Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsport) 98 mata (4) (5)Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang Racing) 90 mata 


CP115 Anugerah Berpasukan
1) PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha – 220 mata (2) Motul Yamaha YY Pang 2 – 201 mata (3) Motul Yamaha YY Pang 1 – 161 mata (4) M-Seki Liberty Honda Racing – 139 mata (5) ZAR Racing Motorsport – 107 mata


Wira
1) Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) 159 mata (2)Mohd Hafiza Rofa (Faito YSP Racing) 129 mata (3) Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang) 126 mata (4)Mohd Khairul Adli Azhar (Suzuki Fortyone Racing) 98 mata (5)Nurahmad Fariznazreen (Motul Yamaha YY Pang) 88 mata 


Cabaran Honda Wave Junior
1)Mohd Rablifirli Azmin 172 mata (2) Mohd Zulfakri Rosli 130 mata (3) Mohd Arif Abdul Rahman 121 mata (4)Mohd Firdaus Zainol 116 mata (5)Mohd Amim Abu Osman 114 mata


Piala Yamaha EgoLC PETRONAS
1) Mohd Nasri Mohd Ishak 130 mata (2) Mohd Shafiq Rasol 127 mata (3) Mohd Mu’izz Al-Atrash 99 mata (4)Mohd Amirul Rasol 96 mata (5)Mohd Izrul Huzairie Amran 89 mata

No comments:

Post a Comment