jokisenja header

jokisenja header


Saturday, December 4, 2010

ZAMRI CARI KEMENANGAN SULUNG DI PADANG KOTA


KETIKA tumpuan peminat terarah kepada tiga calon untuk bergelar juara CP130 musim 2010, Md Zamri Baba pula yang mencuri perhatian pada sesi ujian masa apabila muncul pelumba terpantas Pusingan ke-10 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, hari ini. 

Penunggang pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing itu mencatat masa  49.700 mengatasi masa Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) 49.862 saat sementara Md Zaqhwan Zaidi dari Modenas Yuzy Paichie Racing meraih tempat ketiga terpantas dengan catatan 50.363 saat. 

Sementara itu, dua pelumba dalam prospek bergelar juara musim ini termasuk pendahulu keseluruhan, Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) hanya berupaya menduduki tempat kesembilan (51.195 saat) manakala Ahmad Fazli Sham di tempat keenam dengan catatan 50.963 saat. 

Zamri yang ditemui sebaik berakhir sesi ujian masa bersyukur dengan keputusan itu dan berharap semangat masih kuat dalam usaha terakhirnya bergelar juara pusingan musim ini. 

"Ini adalah peluang terbaik dan kesempatan terakhir buat saya. Tambahan buat masa ini, saya tidak berada dalam tekanan berbanding tiga pencabar lain yang bergelut untuk melakukan yang terbaik dalam usaha memburu juara keseluruhan musim ini. 

"Bagaimanapun, untuk mencapai objektif itu, saya perlu memberi tumpuan untuk mengurangkan kesilapan pada awal perlumbaan," ujar Zamri yang kini berada dirangking ke-4 keseluruhan dengan 127 mata.      

Namun dalam masa yang sama, Zamri turut meluahkan bahawa segala perancangannya akan menjadi sebaliknya dan dia lebih memberi tumpuan untuk membantu Hafizh (Syahrin) atas dasar kedua-dua pelumba mempunyai penaja yang sama. 

"Biarpun kami berbeza pasukan, pada dasarnya kami datang dari satu penaja, PETRONAS. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab saya membantu mana-mana pelumba PETRONAS untuk mencapai objektif (juara) ini," jelas Zamri. 

Dalam sesi ujian masa Kelas CP115, Md Ramdan membuka laluan cerah untuk dinobatkan juara 2010 selepas mecipta masa terpantas dengan catatan 51.542 saat. 

Tambah menyenangkan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing berusia 14 tahun itu, apabila pencabar terdekatnya bagi perebutan juara keseluruhan, Md Rozaiman Md Said hanya menduduki tempat kelima dengan catatan 52.375 saat.

Dalam pada itu, pelumba Suzuki M-Seki Liberty Racing, Sasitaharen Sukumaran mencatat masa 51.565 saat untuk menduduki rangking kedua pelumba terpantas sementara pelumba Motul Yamaha YY Pang, Md Adli Salihin di tempat ketiga dengan masa 51.626 saat. 

Ramdan yang hanya perlu menamatkan perlumbaan dikelompok 12 pelumba terbaik untuk muncul selaku juara CP115 2010 tetap optimis untuk berada sekurang-kurangnya pada kedudukan tiga pelumba terbaik perlumbaan akhir esok. 

"Buat masa ini memang saya cukup yakin untuk menjadi juara baru CP115. Samada berada keluar selaku juara atau sebaliknya, saya masih optimis untuk berada pada kedudukan terbaik meraih kejuaraan ini. 

"Biarpun masa yang saya lakukan agak perlahan berbanding sesi latihan bebas sebelah pagi, saya masih berpuas hati tambahan sesi ujian masa dilakukan ketika hujan dan litar yang agak licin," ujar Ramdan yang sekadar memberi persembahan 70 peratus pada sesi ujian hari ini.   

"Berdasarkan kepada prestasi enjin dan catatan masa yang dilakukan, tiada apa yang dirisaukan buat masa ini. Saya juga akan bergandingan dengan rakan sepasukan, Shahril Izzuwan (Mohd Noor) bagi mengatur strategi perlumbaan akhir esok ," ujar Ramdan yang meraih tempat ke-2 bagi kelas Yamaha 135LC Challenge dan tempat ke-6 perlumbaan Novis di gelanggang yang sama musim lepas.  

Sementara itu, juara baru kategori Wira yang baru ditabalkan, Mohd Adib Rosley masih terus bernafsu untuk bergelar juara pusingan selepas berjaya mencipta masa terpantas sesi ujian masa kelas tersebut.

Kejayaan mencipta masa 52.930 saat turut disusuli kecemerlangan dua rakan sepasukannya, Mohd Azhar Abdul Jalil (52.995 sasat) di tempat kedua dan Md Izzat Zaidi di tempat ketiga dengan masa 53.735 saat.  

"Sekalipun beraksi dalam hujan lebat, saya masih berkeupayaan untuk mencatat masa yang terbaik. Memang terdapat jurang masa yang besar berbanding catatan yang saya lakukan pada sebelah pagi (latihan bebas) namun saya tetap berpuas hati.   

"Untuk perlumbaan final esok, saya berharap kami akan berganding bahu dengan misi untuk bersama-sama berada di atas podium. Ini strategi pasukan dan saya berharap ia menjadi penutup cerita gembira pasukan Motul Yamaha YY Pang bagi perlumbaan terakhir musim ini," ujar Adib yang masih berharap untuk muncul juara di Padang Kota Lama. 

Sementara itu, dalam saingan Yamaha 135LC Challenge, Tengku Amirul Haffiruddin muncul pelumba terpantas ujian masa selepas mencatat 52.789 saat diikuti Md Izzat Zaidi Salehan (53.280 saat) manakala Md Hafiz Nor Azman di tempat ketiga dengan catatan 53.526 saat. 

Dalam perlumbaan Honda icon Challenge Cup, Md Hafizuddin Azahar terus cemerlang selepas mencatat masa terpantas 57.683 saat. Has Fauzan Hassan mengekori rapat masa yang dilakukan Hafizuddin selepas mencatat masa 57.975 saat diikuti How Mak Tian di tempat ketiga dengan catatan 58.060 saat. 

Ujian masa cabaran Kelas Persendirian menyaksikan Md Syawal Md Noor yang menunggang jentera Modenas muncul pelumba terpantas dengan masa 54.370 saat. Md Fahhmin Abd Mutalib berada di tempat kedua dengan catatan 54.570 saat sementara Abd Hafiz Abd Majid di tempat ketiga terpantas setelah mencatat masa 54.857 saat. 

No comments:

Post a Comment