PELUMBA dalam prospek juara, Mohd Ramdan Mohd Rosli mahu menamatkan cabaran sulung CP115 dengan bergaya menjelang pusingan terakhir siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Padang Kota Lama, Pulau Pinang hujung minggu ini.
Sekalipun mendahului carta keseluruhan dengan kelebihan 22 mata, pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM itu tidak mahu mengambil mudah perlumbaan minggu ini sebaliknya akan berjuang habis-habisan.
Untuk rekod, Ramdan kini mengumpul 162 mata diikuti pencabar utamanya, Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang) yang mengumpul 140 mata. Sementara itu, dua pelumba, Mohd Adli Salihin dari Motul Yamaha YY Pang dan Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) bakal bersaing untuk merebut kedudukan tiga pelumba teratas apabila mereka terikat di tempat ketiga dengan 118 mata.
Ramdan yang berusia 14 tahun itu tidak sekadar mahu menambah mata bagi membolehkannya digelar juara CP115 musim ini sebaliknya dia berhasrat untuk mencari satu lagi kemenangan.
"Saya tidak mahu beraksi ala-kadar untuk perlumbaan akhir ini sekalipun peluang untuk merangkul mahkota juara musim ini masih lagi selamat biarpun sekadar menamatkan cabaran di tempat ke-12. Saya mahu mengambil pendekatan sebaliknya," jelas Ramdan yang juga merupakan anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Mohd Rosli Mat Sudin.
"Jika ditakdirkan dan nasib menyebelahi kami, saya harap mampu menambah satu lagi kemenangan kepada koleksi sebelum musim ini melabuhkan tirai. Ini pasti sesuatu yang hebat tatkala gelaran pasukan terbaik sudah berada dalam genggaman kami (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) ketika aksi di Sepang dua minggu lepas. Paling teruk pun, saya ingin muncul di kalangan lima pelumba terbaik."
Sepanjang musim ini, Ramdan berjaya meraih tiga kemenangan pada pusingan di Alor Setar (Pusingan 1), Batu Kawan (Pusingan 3) dan Melaka (Pusingan 7) manakala baki selebihnya, Ramdan hanya menduduki dua kali kedudukan tempat kedua dan sekali berada di tempat ketiga. Keputusannya yang paling teruk pula diperolehi di Kuala Terengganu (Pusingan 5) di mana dia menghabiskan perlumbaan di tempat ke-7.
Ramdan turut menjelaskan, "Dalam pasukan ini, kami tidak menggunakan istilah pelumba utama atau siapa yang harus menamatkan perlumbaan terlebih dahulu. Jika nasib saya baik dan saya memimpin saingan, Shahril Izzuwan Mohd Noor akan membantu saya dan begitu juga sebaliknya.
"Untuk itu, saya akan berushaha dengan Shahril bagi memastikan kami mampu beraksi baik dan mencapai sasaran di trek Padang Kota Lama kelak," jelas Ramdan yang memulakan karier perlumbaan sejak tahun 2009.
No comments:
Post a Comment