jokisenja header

jokisenja header


Friday, December 3, 2010

Amaran Barry

PENGURUS pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Barry Leong memberi amaran kepada anak didiknya, Hafizh Syahrin Abdullah, dia bakal berdepan perlumbaan berisiko tinggi menjelang saingan akhir siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2010 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, bermula esok.
Barry mengingatkan Hafizh tidak melakukan sebarang kesilapan kerana cabaran minggu ini dijangka cukup sengit dan setiap pelumba pasti bermati-matian menamatkan perlumbaan terakhir musim dalam kedudukan terbaik.

Oleh itu, Barry berharap Hafizh mengekalkan fokus dan memastikan dirinya berada pada tahap terbaik bagi pusingan penutup tirai ini bukan saja kerana dia berada dalam perebutan mahkota CP130 tetapi gelaran pasukan terbaik 2010.
Ketika ini, Hafizh berada di tempat ketiga carta keseluruhan dengan 144 mata, ketinggalan dua mata kepada pendahulu, Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) dengan 146 mata dan satu mata dari Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) yang berada di tangga kedua dengan 145 mata.

Sementara itu, Petronas Sprinta Yamaha Raceline yang diwakili Hafizh dan Azlan Shah Kamaruzaman menerajui anugerah berpasukan CP130 dengan 236 mata diikuti Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing (227 mata) dan Shell Advance Yamaha Maju di tempat ketiga (195 mata).

“Cabaran tentu amat sukar buat Hafizh. Selain terpaksa berdepan pencabar yang lebih berpengalaman bagi merebut gelaran juara, dia bersama Azlan turut menggalas harapan Raceline memenangi gelaran anugerah berpasukan musim ini,” jelas Barry. “Banyak risiko yang terpaksa ditempuhi Hafizh. Oleh itu saya harap dia memberikan aksi terbaik dengan berfikir satu langkah ke depan berbanding pesaing dan berhati-hati dengan tingkah-laku pelumba yang lebih agresif.

“Krew bertungkus-lumus mencari pelarasan terbaik sejak di Sepang dan mereka menemui pelarasan paling sesuai bagi menghadapi cabaran litar Padang Kota Lama yang mempunyai empat laluan lurus panjang.

“Selain itu, saya percaya kemampuan fizikal dan mental Hafizh berada pada tahap terbaik bagi perlumbaan akhir ini,” kata Barry.
Barry optimis Hafizh muncul juara CP130 musim ini.

“Hafizh membuktikan dia antara pelumba terbaik musim ini walaupun baru 16 tahun. Dia percaya pada diri sendiri dan tidak gentar menguji batasannya sebagai pelumba,” katanya.

No comments:

Post a Comment