jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, December 21, 2010

YAMAHA135LC CUNGKIL BAKAT PELUMBA MUDA

Ramai pihak yang memainkan peranan untuk mengembangkan sukan pemotoran dan ini tidak terkecuali dengan syarikat pengeluar motosikal, Hong Leong Yamaha yang menganjurkan perlumbaan satu pengeluar di pentas Cub Prix. Untuk mengupas lebih lanjut objektif serta kejayaan Cabaran Yamaha 135LC, kami berpeluang menemu ramah Pengurus Kanan Pemasaran Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, GS Tan baru-baru ini.

S:  Cabaran Yamaha 135LC diperkenalkan pada tahun 2006 dan bermula tahun 2007 sehingga kini, ia hanya terbuka kepada pelumba berusia 13 hingga 17 tahun. Apa matlamat berbuat demikian?
Selama ini, objektif kami adalah untuk mencungkil bakat baru dan sehingga kini, kami masih berpegang dengan pendirian yang sama. Oleh itu, matlamat perlumbaan satu pengeluar Yamaha, Cabaran Yamaha 135LC, tidak berubah iaitu untuk menyediakan platform mengilap bakat pelumba yang tidak mempunyai pengalaman.
 
Bagi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pula, pihak pengelola, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) sentiasa membuat perubahan dalam usaha untuk mengembangkan bakat pelumba terutamanya dengan memperkenalkan kategori Wira yang direka khusus untuk barisan pelumba muda. Dalam soal ini, kami juga memainkan peranan menerusi perlumbaan Cabaran Yamaha 135LC yang kami anggap matlmatnya adalah seiringan dengan visi pihak pengelola kejuaraan untuk menyediakan platform kepada pelumba berusia antara 13 hingga 17 tahun.
 
Kami percaya bahawa Cabaran Yamaha 135LC merupakan gelanggang untuk mengasah bakat pelumba muda dalam Cub Prix. Ini kerana mereka besaing antara sama lain secara adil dan saksama dengan menggunakan jentera yang disediakan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd.
 
 
S: Bagaimana pula dengan pemilihan peserta?
Kami tidak membuka penyertaan kepada semua, tetapi menyerahkannya kepada pasukan Yamaha seperti PETRONAS Sprinta Yamaha AHM, PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, Motul Yamaha YY Pang dan Faito Yamaha Boon Kui Racing untuk memilih pelumba. Kebiasaannya, sebahagian besar daripada pelumba dikenalpasti oleh pasukan-pasukan ini menerusi perlumbaan pocket bike.
 
Kami memberi tanggungjawab ini kepada pasukan-pasukan yang membawa jenama Yamaha untuk mengenalpasti bakat muda, seterusnya menjadikan perlumbaan ini sebagai medan mengilap potensi mereka.

Kami mempunyai 20 slot untuk pelumba, dan pasukan-pasukan terbabit boleh memilih pelumba mereka untuk disenaraikan dalam Cabaran Yamaha 135LC sepanjang musim. Selain itu, pelumba-pelumba Yamaha juga akan memperkenalkan kepada kami pelumba yang berbakat dan mereka akan menghubungi kami tentang hasrat untuk berlumba dalam Cabaran Yamaha 135LC.
 
S: Apakah kriteria yang diperlukan?
Pertamanya, kami akan menilai dari segi usia seseorang pelumba itu. Mereka hendaklah berusia antara 13 hingga 17 tahun. Keduanya, saiz fizikal. Pengalaman berlumba tidak diwajibkan.
 
S: Setakat ini, adakah anda puas hati dengan prestasi para pelumba Cabaran Yamaha 135LC?
Ya, sudah pasti saya puas. Kami juga dengan bangga menyatakan bahawa jaguh-jaguh Cub Prix sekarang seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Mohd Ramdan Mohd Rosli, Mohd Azhar Abdul Jalil dan Mohd Adib Rosley mempunyai latar belakang beraksi dalam Cabaran Yamaha 135LC. Saya hanya sekadar menyebut beberapa nama, tetapi ramai lagi yang berbakat menerusi pendedahan pada perlumbaan Cabaran Yamaha 135LC.
 
S: Apa nasihat anda kepada kumpulan pelumba sekarang?
Generasi pelumba ini memang sangat bertuah kerana mereka mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa masing-masing. Kini mereka mempunyai peralatan perlumbaan yang serba lengkap serta dapat berlumba di persekitaran yang selamat. Di samping itu, kini mereka boleh memilih sukan pemotoran sebagai karier.
 
Oleh itu, saya menggesa mereka agar terus berusaha keras bagi mencapai cita-cita mereka menjadi seorang pelumba yang berjaya. Saya yakin, satu hari kelak, mereka ini mampu menjadi pelumba kelas dunia sekali gus menjadi kebanggaan kita.
 
S: Ada perancangan baru yang anda mahu kongsi bersama mereka?
Tahun depan, besar kemungkinan kami akan menggantikan model Yamaha 135LC dengan model Yamaha 115Z yang baru dilancarkan. Begitupun, kami masih belum membuat keputusan lagi mengenainya.

No comments:

Post a Comment