jokisenja header

jokisenja header


Saturday, December 11, 2010

Hafizh terpantas ujian kelayakan 1


PELUMBA harapan Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah menyalakan harapan besar buat kontinjen negara selepas mencipta masa terpantas sesi kelayakan 1 siri Kejuaraan Piala Yamaha Asean ke-8 yang berlangsung di Kompleks Sukan Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam. 

Hafizh yang mengetuai senarai pelumba kategori Expert, mencatat masa 52.257 saat mengatasi catatan pelumba berpengalaman dari Indonesia, Florianus Roy (52.282 saat) dan Prawat Yannawut dari Thailand yang mencatat masa 52.507 saat untuk berada tempat ketiga. 

Terdahulu, kontinjen Malaysia kekurangan satu pelumba selepas Mohd Iskandar Raduan terbabit dalam insiden sekali gus menyaksikan dia tidak mampu meneruskan cabaran. 

Selain Hafizh, pasukan Malaysia menyandarkan pengalaman pelumba senior Mohd Adli Salihin (tempat ke-11), Shahril Izzuwan Md Noor (tempat ke-13) dan Ahmad Abdul Kadir yang menduduki tempat ke-14 dari 18 pelumba yang bertanding. 

Hafizh berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan kurang berpuas hati dengan catatan yang dilakukan selain masalah litar licin selepas perlumbaan di hentikan untuk kerja-kerja pembersihan.

“Saya berdepan masalah pada bahagian brek diperingkat awal. Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya apabila perlumbaan dihentikan seketika pada pusingan ke-5 dan dari situ saya dapat memperbetulkan masalah tersebut. 

“Begitupun dari segi masa, saya masih kurang berpuas hati kerana ternyata bukan sahaja saya malah pelumba lain juga sukar membuat masa yang lebih baik ekoran terdapat pasir kesan dari pelanggaran dari salah seorang pelumba sebelum itu,” katanya. 

Menyentuh cabaran pelumba lain, Hafizh meramalkan pelumba berpengalaman dari Indonesia, Florianus (Roy) dan Prawat (Yannawut) dari Thailand mampu menyekatnya untuk memburu gelaran Expert di gelanggang sendiri. 

Sementara itu, peluang Malaysia untuk memburu gelaran juara keseluruhan kategori Novis semakin cerah selepas juara Cabaran Yamaha 135LC 2010, Tengku Amirul Haffirudin muncul pelumba terpantas sesi ujian kelayakan pertama hari ini. 

Tengku Amirul pelumba muda berusia 14 tahun berjaya mencatat masa 57.620 saat pada pusingan ke-18 mengatasi masa yang dilakukan pelumba Indonesia, M. Zaki (57:729 saat) dan pelumba Thailand, Kannasoot Sithisena yang menduduki di tempat ketiga terpantas dengan masa 57.748 saat. 

Begitupun, Tengku Amirul turut kurang berpuas hati dengan catatan yang dilakukan berbanding masa yang dicatatkan pada sesi latihan bebas pada sebelah pagi. 

“Jentera saya agak kurang kompertitif berbanding di sebelah pagi. Selain itu, saya kini perlu menambah berat motosikal sebanyak 5 kilogram memandangkan berat badan saya agak kurang untuk had kelayakan seorang pelumba. 

“Mungkin ada perubahan sedikit mengenai penyelarasan jentera namun saya masih berharap dapat terus mencatatkan masa yang terbaik pada sesi kelayakan kedua di sebelah pagi (esok) seterusnya berada pada kedudukan grid terbaik perlumbaan akhir esok,” jelas Tengku Amirul.

No comments:

Post a Comment