jokisenja header

jokisenja header


Sunday, December 19, 2010

ARRC 2010: Decha rampas kejuaraan

KUALA LUMPUR - Juara 2007, Decha Kraisat ditabalkan sebagai juara SuperSports 600cc 2010 selepas tamat pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Litar Antarabangsa Losail, Qatar semalam.

Penunggang Petronas Yamaha Thailand itu berjaya merangkul kejuaraan kedua dalam kariernya walaupun sekadar menamatkan perlumbaan 1 selaku naib juara, manakala pada perlumbaan 2 dia tidak layak beraksi kerana dikenakan penalti akibat berlepas lebih awal.
Pada perlumbaan 1, Decha menduduki tangga kedua di belakang rakan sepasukan, Chalermpol Polamai yang muncul juara dengan masa 32 minit, 29.801 saat - hanya 0.466s mengatasi Decha (32:30.267s). Penunggang Petronas Yamaha Indonesia, M. Fadli di tempat ketiga dengan catatan 32:36.926s.
Chalermpol turut menjuarai perlumbaan 2 dengan catatan masa 32:27.759s, meninggalkan pelumba China Xongshen Racing, Tatsuya Yamaguhi di tempat kedua (32:28.140s), manakala Toshiyuki Hamaguchi dari Moto-Rev India ketiga (32:29.009s.)
Pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman terkeluar pada perlumbaan 1 selepas terlibat dalam kemalangan di selekoh 3 pusingan 11. Enjin Azlan mengalami kerosakan teruk menyebabkan dia terpaksa melupakan perlumbaan 2.
Decha, 29, berkata, kemenangan semalam bagaikan meletakan dia di puncak dunia, apatah lagi ini adalah kejuaraan SuperSports 600cc kedua dalam kariernya.
"Ia sangat hebat dapat menaiki podium selaku juara keseluruhan. Saya gembira dengan kecemerlangan musim ini dan ia adalah hasil kerja keras dan pengorbananpasukan,'' katanya.
Decha melengkapkan musim dengan 178 mata, manakala Chalermpol di tempat kedua dengan 176 mata, diikuti Azlan dari Petronas Yamaha Malaysia 123 mata.
Bagi anugerah pasukan, Petronas Yamaha Thailand muncul juara dengan 229 mata, meninggalkan Petronas Yamaha Malaysia di tempat kedua dan Moto-Rev India ketiga, masing-masing dengan 169 dan 108 mata.
Dalam kategori Underbone 115cc, penunggang Indonesia, Hadi Wijaya muncul juara keseluruhan buat kali pertama. Pelumba Kawasaki NHK Rextor MTR Manual Racing itu menamatkan perlumbaan 1 dan 2 selaku naib juara.
Pada perlumbaan 1, pelumba Indonesia mendominasi kedudukan 1-2-3 diketuai Rafid Topan Sucipto dari CKJ Motorsports, Hadi dan M. Reva Fahlevi.
Indonesia meneruskan dominasi dalam perlumbaan 2 cuma kali ini Reva muncul juara, diikuti Hadi, manakala Fitriansyah Kete dari Bikers Indonesia BRT ketiga.

No comments:

Post a Comment