jokisenja header

jokisenja header


Monday, December 6, 2010

Hafizh juara termuda


Hafizh Syahrin Abdullah meraikan kejayaan menjuarai perlumbaan CP130 untuk muncul juara termuda dalam sejarah Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
PULAU PINANG – Penunggang remaja berusia 16 tahun, Hafizh Syahrin Abdullah muncul juara termuda Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas selepas menjuarai kelas CP130 yang menutup saingan di Padang Kota Lama, semalam.
Penunggang Petronas Sprinta Yamaha Raceline itu memadam rekod Norizman Ismail yang memenangi kelas Expert pada usia 20 tahun, 7 bulan, lima tahun lalu.
Dia juga memegang rekod memenangi kejuaraan berganda selepas menjuarai kelas Novis (sekarang dikenali CP115) 2009 dan musim ini membawa pulang gelaran CP130.
Hafizh yang sebelum ini berada di kedudukan ketiga dengan 144 mata bangkit memberikan tentangan hebat dengan memenangi saingan pusingan ke-10 semalam, memberi tambahan 25 mata dan menjadikan mata keseluruhan yang dikumpul 169 mata.
Norizman yang berlumba untuk pasukan Harian Metro SCK Honda Racing, dan sebelum ini mendahului saingan CP130 dengan 146 mata sekadar menduduki tempat kedua dengan 162 mata.
Ahmad Fazli Sham (Sell Advance Yamaha Maju Motor) dengan 158 mata menamatkan musim di tangga ketiga.
Hafizh yang nyata gembira dengan kemenangan itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga pasukannya yang telah bekerja keras selain penaja, pelatih, keluarga dan rakan-rakan yang memberikan dorongan kepadanya sepanjang kejuaraan.
‘‘Perlumbaan akhir hari ini (semalam) sangat sengit terutama di pusingan awal apabila saya bersaing rapat dengan Norizman.
“Saya berjaya menjarakkan diri daripadanya selepas memasuki pusingan ketiga, sekali gus memberi fokus untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama,” katanya.
Pada perlumbaan akhir semalam, Hafizh yang bermula dari petak pertama berjaya memimpin perlumbaan melepasi kibaran bendera penamat dengan catatan masa 12:03.848 saat.
Pelumba cilik itu diekori jauh pelumba Petronas Sprinta Yamaha AHM, Md Zamri Baba (12:06.810s) di tempat kedua, manakala Norizman pula dipisahkan dengan 3.811s di tempat ketiga.
Pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline turut ditabal sebagai juara pasukan untuk kelas CP130, manakala Md Ramdan Md. Rosli muncul juara CP115.

No comments:

Post a Comment