HAFIZH Syahrin Abdullah bukan sahaja dinobatkan selaku juara baru CP130 musim 2010, malah pelumba muda berusia 16 tahun turut mencipta rekod tersendiri selaku juara termuda memenangi kelas perdana pada pusingan terakhir siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, hari ini.Penunggang pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline itu mencatat masa 12:03.848 saat dan meraih kemenangan mutlak di Pulau Pinang sekali gus mengesahkan pelumba kelahiran Kg. Pandan itu selaku juara musim 2010.
Md Zamri Baba (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) turut mempamerkan persembahan cemerlang selepas berjaya menduduki tempat kedua (12:06.810 saat) pada saingan perlumbaan akhir di Pulau Pinang.
"Ia kemenangan yang cukup istimewa buat saya dan seluruh krew pasukan, PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline. Ia adalah usaha dan kerja keras kami sejak cabaran pusingan keenam (Teluk Intan) hingga pusingan terakhir ini.
"Kejayaan ini juga adalah hadiah paling istimewa dari saya buat ayah yang telah mendidik saya sejak berusia sembilan tahun sehingga ke hari ini. Selain itu, kejayaan menjuarai kelas CP130 merupakan kesinambungan dari catatan musim lepas (juara Novis 2009) selain melakar sejarah memenangi empat perlumbaan musim ini dan mengulangi kejayaan digelanggang sama musim lepas," jelas Hafizh ketika di sidang akhbar sejurus berakhir perlumbaan.
Hasil kemenangan di Pulau Pinang membolehkan Hafizh mengumpul 169 mata mengatasi Norizman di tempat kedua dengan 162 mata sementara Fazli tergelincir ke tempat ketiga dengan 158 mata.
Pasukan Sprinta Yamaha Raceline turut diumumkan selaku pemenang Anugerah Berpasukan CP130 musim 2010 dengan kutipan 271 mata, diikuti PETRONAS Sprinta Yamaha AHM di tempat kedua dengan 247 mata sementara pasukan Harian Metro SCK Honda Racing di tempat ketiga dengan 219 mata.
Digelanggang yang sama, Mohd Ramdan Md Rosli turut sama melakar sejarah sekali gus mengesahkan kedudukan selaku juara CP115 musim ini selepas mengketepikan pesaing utamanya, Md Rozaiman Md Said (Motul Yamaha YY Pang) di perlumbaan akhir.
Penunggang PETRONAS Sprinta Yamaha AHM bijak mengatasi tekanan pelumba lain sebaik dilepaskan dan hanya mengekori rapat kedudukan Rozaiman pada tiga pusingan awal sebelum mengatasi pencabarnya itu di pusingan ketiga seterusnya memimpin saingan ke garisan penamat.
"Memang pada peringkat awal, saya sekadar mahu menamatkan perlumbaan di kelompok lima pelumba teratas namun selepas berjaya melepas kelompok pelumba ramai, sasaran itu menjadi sebaliknya.
"Saya berlumba secara selamat pada satu ketika namun selepas berjaya menjarakkan kedudukan dengan Rozaiman, barulah saya mula meningkatkan lagi persembahan saya," ujar Ramdan mengulas persembahannya pada perlumbaan akhir.
Ramdan melintasi garisan penamat dengan kelebihan 2.701 saat di depan Rozaiman dengan masa 9:50.633 saat diikuti Rozaiman (9:53.334 saat). Sementara itu, pelumba ZAR & HTM Motorsports Racing, Md Rozaliman Zakaria turut cemerlang apabila mengatasi pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha AHM hanya 0.005 saat di depan. Pelumba kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengakhiri cabaran dengan masa 9:59.973 saat.
Menurut pelumba muda berusia 14 tahun itu, kemenangan ini sesuatu yang cukup istimewa kerana selain memenangi juara CP115, dia juga memecah rekod Hafizh Syahrin Abdullah selaku pelumba termuda memenangi gelaran keseluruhan dalam sejarah Cub Prix tanahair.
"Ia sesuatu yang istimewa dan kemenangan ini buat semua krew pasukan dan ahli keluarganya. Kemenangan ini juga menguatkan impian saya untuk melangkah ke hadapan menjelang cabaran kelas baru CP130 yang dijangka lebih mencabar.
"Untuk itu, saya perlu meningkatkan lagi kekuatan stamina dan mental selain memperbaiki beberapa kelemahan dalam tunggangan saya," ujar Ramdan.
Keputusan di Pulau Pinang memberi kemenangan mutlak buat Ramdan untuk muncul selaku juara CP115 musim 2010 setelah mengumpul 187 mata, diikuti Rozaliman di tempat kedua dengan 160 mata manakala Md Iskandar Raduan naik satu anak tangga di tempat ketiga dengan 129 mata.
Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM memenangi kejuaraan berganda apabila memenangi gelaran Anuegarah Berpasukan bagi kelas CP115 diikuti PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline di tempat kedua dengan 200 mata. Pasukan Motul Yamaha YY Pang hanya berada di tempat ketiga dengan kutipan 188 mata.
Bagaikan mahu membalas budi rakan sepasukan, juara yang baru ditabalkan di Sepang lepas, Mohd Adib Rosley sekadar mengekori rapat Mohd Azhar Abdul Jalil sebaik perlumbaan akhir kelas Wira bermula sehingga ke garisan penamat.
Kemenangan 1-2 pasukan Motul Yamaha YY Pang itu sememangnya mudah dijangka apatah lagi perlumbaan akhir tanpa seteru utama dua pelumba terbabit apabila Md Syawalludin Md Zaki (FortyOne Racing) tidak beraksi di perlumbaan akhir.
Sebaliknya Azhar bekas juara 2009 mempamerkan persembahan cemerlang mendominasi dari awal hingga penamat 10 pusingan dengan catatan 8:29.864 mata disusuli Adib sejurus selepas itu dengan masa 8:30.118 saat. Pelumba dari Terengganu yang mewakili pasukan Modenas FortyOne Racing, Ahmad Afif Amran di tempat ketiga dengan catatan 8:30.234 saat.
Azhar yang ditemui menyifatkan kemenangan yang dicapai pada hari ini adalah hasil bantuan rakan baiknya itu. "Saya mengucapkan terima kasih buat krew pasukan dan kerjasama yang diberikan Adib pada perlumbaan akhir hari ini.
"Persembahan saya banyak dibantu oleh Adib yang memainkan peranan besar sehingga membolehkan saya menamatkan cabaran pusingan terakhir selaku juara. Ini juga perlumbaan terakhir bagi saya dalam kelas Wira dan mulai musim depan, saya akan bergandingan dengan pelumba senior dalam kelas CP115," ujar Azhar mengulas mengenai perlumbaan akhir kategori tersebut.
Keputusan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan carta keseluruhan dengan Adib menambah kutipan mata dengan mengumpul 186 mata diikuti Azhar di tempat kedua dengan 158 sementara Syawalludin di tempat ketiga dengan 125 mata.
Dalam saingan terakhir Honda icon Challenge Cup, Hafizuddin Md Azahar mengesahkan kedudukan selaku juara musim keempat selepas mempamerkan persembahan cukup bertenaga pada perlumbaan akhir yang cukup dramatik.
Sekalipun perlumbaan terpaksa dihentikan pada saingan ke-5 ekoran insiden membabitkan dua pelumba, sejurus bermula babak seterusnya pelumba kelahiran Serkam, Melaka begitupun tenang untuk memimpin saingan sehingga menuju ke garisan penamat dengan masa 8:30.902 saat.
Pencabar terdekat Hafizuddin, Has Fauzan Azahar hanya berupaya menduduki tempat kedua dengan catatan 8:32.295 saat diikuti rakan senegeri Hafizuddin, How Mak Tian di tempat ketiga dengan masa 8:32.788 saat.
Malang menimpa buat pencabar terdekat Hafizuddin dalam perebutan gelaran keseluruhan, Fakhrusy Syakirin Rostam apabila tergelincir satu anak tangga selepas jenteranya mengalami masalah mekanikal di perlumbaan akhir.
Fakhrusy terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan kutipan 126 mata sementara juara di Pulau Pinang, Hafizuddin mengesahkan juara keseluruhan setelah mengumpul 157 sementara Has Fauzan di tempat kedua dengan 131 mata.
Cabaran Yamaha 135LC terus menjadi milik Tengku Amirul Haffiruddin selepas mengketepikan cabaran sengit Md Hafiza Rifa dengan kelebihan 0.227 saat. Pelumba yang bakal beraksi untuk pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline musim depan mencatat masa 8:23.941 saat diikuti Md Hafiza Rofa (8:24.168 saat) sementara Nur Ahmad Fariznazreen di tempat ketiga dengan masa 8:26.005 saat.
Kejayaan Amirul di Padang Kota Lama mengukuhkan kedudukan selaku juara keseluruhan Yamaha 135LC Challenge musim 2010 selepas mengumpul 161 mata hasil lima kemenangan dari lapan pusingan dilangsungkan.
Md Razmal Md Rohaizad masih mengekalkan kedudukan tempat kedua terbaik sekalipun tidak beraksi dalam perlumbaan akhir ekoran masalah jentera sementara Nur Ahmad di tempat ketiga dengan kutipan 102 mata.
Sementara itu, pelumba kelahiran Pulau Pinang, Abd Hafiz Abd Majid menguasai perlumbaan akhir Kelas Persendirian selepas berjaya menamatkan cabaran 10 pusingan dengan catatan 8:41.084 saat. Hafiz, pelumba yang menunggang jentera Modenas mengketepikan saingan dari Md Fhahmin Abd Mutalib yang berada di tempat kedua dengan masa 8:42.334 saat. Ahmad Asree Kamaruddin turut cemerlang apabila meraih tempat ketiga dengan masa 8:46.484 saat.
No comments:
Post a Comment