Thursday, December 16, 2010
Affendi mahu akhiri kemarau
JUARA bertahan kategori Underbone 115cc, Mohd Affendi Rosli masih lagi menaruh harapan tinggi menamatkan kemarau podium pada perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Petronas yang berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada 16 hingga 18 Disember ini.
Ia adalah cerita duka sepanjang musim 2010 buat Affendi dan tumpuannya pada perlumbaan di Qatar adalah mencari tempat di atas podium. Bekas juara musim lepas sekadar memungut 13 mata daripada lima pusingan dengan kutipan mata diraih pada Perlumbaan 2 ketika beraksi di Litar Sepang (Pusingan 1) lepas.
Selepas itu, pelumba kelahiran Sungai Buloh, Selangor itu, terus gagal menamatkan perlumbaan ketika perlumbaan di Jepun (Pusingan 2), Indonesia (3), India (4) dan terbaru di China (5).
Ketika ini, pelumba Harian Metro SCK Honda Racing berada di tempat ke-21 kedudukan keseluruhan dengan 13 mata, sementara rakan sepasukannya, Norizman Ismail di tangga ke-10 dengan 39 mata.
Tiga pelumba Indonesia menguasai kedudukan tiga tempat teratas dengan pendahulu kategori Underbone 115cc masih menjadi milik Denny Triyugo dari Yamaha TOP 1 FDR Racing dengan 123 mata, diikuti Hadi Wijaya (Kawasaki NHK Rextor MTR Manual Tech) dengan 114 mata, sementara rakan sepasukan Denny, Hokky Krisdianto di tempat ketiga dengan 94 mata.
Dengan perlumbaan pusingan terakhir berlangsung di Qatar, gelanggang berkecuali buat semua pelumba, dia berharap mampu menamatkan badi dengan memungut mata dan meraih keputusan podium jika bernasib baik.
“Tahun ini bukanlah musim terbaik buat saya. Saya berdepan masalah penyelarasan enjin, selepas itu terbabit insiden yang membuatkan saya gagal meneruskan perlumbaan. Ia seperti putaran sepanjang perlumbaan saya musim ini.
“Sekalipun, cabaran ini perlumbaan terakhir musim ini, tetapi saya masih menyimpan hasrat menamatkan kemarau. Saya harap, perlumbaan pada sebelah malam memberi sinar buat saya mengakhiri musim ini,” katanya.
Dia sanggup lakukan apa sahaja demi memperolehi keputusan positif.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment