KUALA LUMPUR - Persaingan merebut mahkota SuperSports 600cc dan Underbone 115cc bakal tiba di kemuncak apabila Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) memasuki pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Losail, Qatar dari Khamis hingga Sabtu ini.
Tiga pelumba bersaing sengit untuk memburu kejuaraan SuperSports - Decha Kraisat, Chalermpol Polamai dan Azlan Shah Kamaruzaman.
Decha, pelumba pasukan Petronas Yamaha Thailand mendahului kedudukan keseluruhan menerusi 158 mata, 35 mata di depan rakan sepasukan dan juara bertahan, Chalermpol, diikuti Azlan Shah dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Malaysia dengan 123 mata.
Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn. Bhd. selaku promoter kejuaraan, Ron Hogg berkata, perlumbaan dijangka cukup menarik bukan sahaja kerana ia akan berlangsung di atas gelanggang asing tetapi dijalankan pada waktu malam.
"Perlumbaan minggu ini pasti menarik kerana Litar Losail merupakan gelanggang neutral di mana tiada seorang pun dari tiga pelumba dalam perebutan makhota SuperSportsmempunyai pengalaman beraksi. Tambahan lagi, saingan akan berlangsung di waktu malam, satu suasana yang cukup mencabar bukan hanya untuk pelumba tetapi seluruh kontinjen," kata Ron.
Tambahnya lagi, perlumbaan lebih menarik menarik lagi kerana beberapa pelumba berprofil tinggi akan menyertai perlumbaan SuperSports 600cc di Qatar minggu ini. Oleh itu, mereka yang berada di dalam perebutan gelaran juara perlu lebih berhati-hati.
Sementara itu, Denny Triyugo dari Yamaha TOP1 FDR berada dalam zon bahaya dan dijangka terpaksa bergelut bagi mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan kelas Underbone115cc.
Ekoran masalah teknikal pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Zhuhai (Pusingan 5) bulan lalu, pelumba berusia 22 tahun hanya memiliki kelebihan tipis sembilan mata (123 mata) ke atas rakan senegara, Hadi Wijaya dari Kawasaki NHK Rextor MTR Manual Tech yang berada di tangga kedua dengan 114 mata. Rakan sepasukan Denny, Hokky Krisdianto pula berada di kedudukan tangga ketiga selepas mengumpul 94 mata.
Ron yakin persaingan dalam kategori Underbone 115cc juga amat mengujakan.
"Gelaran juara Underbone 115cc masih terbuka oleh itu keempat-empat pelumba dalam perebutan perlu berusaha sedaya upaya untuk mengutip mata.
"Siapa saja yang kurang melakukan kesilapan akan memenangi perlumbaan, justeru belum ada pelumba yang boleh menganggap mereka berada dalam kedudukan selesa termasuk pendahulu,'' kata Ron lagi.
Katanya, mereka perlu konsisten baik dalam perlumbaan 1 mahupun perlumbaan 2 jika mahu bergelar juara.
No comments:
Post a Comment