jokisenja header

jokisenja header


Saturday, December 11, 2010

PELUMBA MUDA TAKLUK CUB PRIX

Musim 2010 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berakhir semalam dengan pelbagai rekod baru dicatatkan dan ramai pelumba muda membuktikan kemampuan mereka di dalam bidang sukan pemotoran.

Lebih hebat lagi, buat pertama kali dalam sejarah Cub Prix, kelima-lima kategori CP130, CP115, Wira, Cabaran Honda icon dan Cabaran Yamaha 135LC ditakluk pelumba di bawah usia 17 tahun.

Kemenangan remaja berusia 16 tahun, Mohd Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang di di dalam kategori Wira bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kelas ini hanya dibuka kepada pelumba berusia 17 tahun dan ke bawah.

Tetapi lain pula kisahnya di dalam kelas terbuka CP115 dan CP130 yang tiada had umur di mana pelumba muda tampil ke hadapan dan mencabar pelumba lebih berpengalaman.

Hafizh Syahrin Abdullah yang berusia 16 tahun merupakan salah seorang dari pelumba tersebut. Musim ini merupakan tahun pertamanya di dalam kategori perdana CP130 tetapi dia telah pun berjaya menumpaskan pelumba veteran seperti Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju), Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) dan Ahmad Fuad Baharuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing). Walaupun berhadapan pelbagai rintangan, dia tidak pernah mengaku kalah sebaliknya terus berusaha untuk mengecapi kegemilangan.
 
Dalam pada itu, di dalam kelas CP115 pula, tiada siapa menjangkakan pendatang baru, Mohd Ramdan Mohd Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM Racing akan menjulang trofi kemenangan dan mengalahkan pelumba senior seperti Mohd Iskandar Raduan (PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline) dan Mohd Adli Salihin (Motul Yamaha YY Pang). Lebih menakjubkan, Ramdan baru berusia 14 tahun dan musin ini merupakan tahun keduanya beraksi di dalam Kejuaraan Cub Prix.

Seperti Hafizh, Ramdan telah membuktikan usia bukan halangan untuk muncul juara sebaliknya aksi konsisten dan niat yang kuat melayakkannya menerima makhota CP115.
 
Sementara itu, di dalam kelas pelumba satu-pengeluar, Cabaran Honda icon dan Cabaran Yamaha 135LC yang berfungsi sebagai landasan mencari bakat-bakat baru juga mempunyai dua pemenang yang masih muda. 

Mohd Hafizuddin Azahar yang tampil sebagai pemenang Cabaran Honda icon hanya berusia 15 tahun manakala Tengku Amirul Hariffudin yang baru berusia 14 tahun bergelar juara Cabaran Yamaha 135LC.
 
Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg jelas berbangga dengan prestasi pelumba generasi ini dan berkata, "Tidak dapat dinafikan saya rasa bangga melihat semua juara kami musim ini amat muda sekali, di dalam linkungan 14 ke 16 tahun. Mereka telah membuktikan bahawa dengan bakat dan hasil usaha keras, mereka mampu menyaingi pelumba jauh lebih senior. 

"Walau bagaimanapun, semua ini tidak mungkin terjadi tanpa sokongan PETRONAS, penaja-penaja, pasukan-pasukan serta pelumba sekalian. Kepercayaan mereka di dalam Cub Prix telah membawa kami semua ke sini dan kemenangan pelumba-pelumba muda ini merupakan hasil pengenalan kelas Wira pada tahun 2002," ujar Ron.

Ron turut menambah, "Kehadiran mereka selaku juara juga memberikan galakan lebih kepada semua yang terlibat dalam Cub Prix, dari promoter, penganjur, penaja, pasukan serta pelumba kerana kami telah menaburkan banyak usaha bagi mencari dan mengasah bakat-bakat baru dalam sukan Cub Prix ini."

"Hasilnya, kini kami mempunyai bukan seorang tetapi ramai bakat muda hanya menunggu peluang untuk diketengahkan dan ini menandakan sebuah episod baru bagi kami. Oleh itu kami perlu berusaha dengan lebih keras bagi memastikan prospek-prospek ini tidak disia-siakan kerana mungkin suatu hari nanti mereka boleh melangkah ke Kejuaraan Lumba Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) atau pun MotoGP," jelas Ron.

"Tambahan lagi, kesimpulan pusingan penutup tirai semalam menunjukkan bakat-bakat baru ini bukan hanya satu tapi ramai dan saya percaya, ini merupakan langkah pertama untuk kontinjen Cub Prix mempertengahkan pelumba-pelumba ini," jelas Ron.

No comments:

Post a Comment