DOHA - Pelumba sandaran negara, Azlan Shah Kamaruzaman memulakan perebutan petak depan dengan langkah kiri apabila gagal mencatat masa terbaik selepas terjatuh pada sesi kelayakan (ARRC) di Litar Antarabangsa Losail Qatar, kelmarin.
Berikutan kemalangan itu, Azlan hanya mampu mencatat masa keempat terpantas pada saat-saat akhir sesi kelayakan selama 40 minit iaitu 2min:11.779s daripada lima lap yang sempat beliau lakukannya.
Sesi kelayakan pertama itu dikuasai dua pelumba Thailand iaitu juara tahun lalu, Chalermpol Polamai yang mencatat masa terpantas satu lap 2:10.566s diikuti pendahulu keseluruhan tahun ini, Decha Kaisart, 2:10.684s dan pelumba Jepun, Tatsuya Yamaguchi, 2:11.225s.
Azlan, 26, ketika ditemui selepas perlumbaan berkata, beliau cuba mengelak daripada melanggar Decha di selekoh kedua menyebabkan gagal mengawal jenteranya dan terbabas.
"Tetapi saya optimis mampu mencatat masa lebih baik pada sesi kelayakan kedua nanti untuk terus memberi tekanan kepada Decha," katanya yang mengakui berlumba pada waktu malam di sini agak mencabar kerana tumpuannya sering diganggu bayang-bayang akibat limpahan cahaya lampu.
Mengikut format perlumbaan ini, catatan masa daripada dua sesi kelayakan akan dicampur untuk mencari puratanya dalam menentukan kedudukan petak depan pada perlumbaan sebenar, esok.
Azlan berpeluang muncul juara Asia jika menang dalam dua perlumbaan di sini sambil mengharapkan Decha gagal meneruskan perlumbaan - satu keajaiban ia akan berlaku.
Ketika ini Azlan yang meraih 123 mata, menghuni tempat ketiga keseluruhan di belakang dua pelumba Thailand, Decha Kaisart (158 mata) dan Chalermpol Polamai (126 mata).
"Mungkin hari ini (semalam) nasib tidak menyebelahi saya. Tetapi, perjuangan belum berakir kerana saya masih ada ruang untuk menebus kesilapan ini," kata Azlan.
Sementara itu, dalam sesi kelayakan kategori Underbone 115cc, pelumba muda negara berusia 14 tahun, Md. Ramdan Md. Rosli melakukan kejutan dengan mencatat masa terpantas 2:41.565s.
Ramdan yang sudah terkeluar daripada saingan merebut kejuaraan keseluruhan Asia tahun ini mengatasi catatan tiga pelumba Indonesia yang berada di belakangnya.
"Saya hanya memperbaiki teknik tunggangan dan ternyata ia berhasil mencatat masa terpantas di sini. Ini kali pertama saya melakukan pencapaian terbaik."
No comments:
Post a Comment