SHAHRIL Izzuwan Mohd Noor bertindak cemerlang untuk meraih kedudukan ketiga keseluruhan kategori Expert di perlumbaan Piala Yamaha Asean yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.
Shahril, 22, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada kedua-dua perlumbaan dengan masa 10:45.108 minit pada Perlumbaan 1 dan 10:41.319m Perlumbaan 2.
Pelumba Indonesia, Florianus Roy menjuarai Perlumbaan 1 selepas menamatkan cabaran 12 pusingan dengan masa 10:39.551m, diikuti pelumba Thailand, Jirawut Ratsamee dengan 10:41.880m.
Bagi Perlumbaan 2 pula, dua pelumba Indonesia, Feriando Herdian dan Iswandi Muis meraih tempat pertama dan kedua dengan catatan 10:37.795m dan 10:39.897m.
“Saya bermula agak lambat pada kedua-dua perlumbaan tapi selepas beberapa pusingan barulah saya mengejar satu persatu pencabar.
“Bagi saya, keputusan ini amat menggembirakan sekalipun meraih tempat ketiga. Ini merupakan penyertaan sulung pada siri kejuaraan ini,” jelas pelumba Petronas Sprinta Yamaha AHM. Florianus yang menamatkan Perlumbaan 2 di tempat keempat muncul juara keseluruhan kategori Expert dengan 38 mata diikuti Iswandi, 33, manakala Shahril di tempat ketiga dengan 32 mata.
Bagi kategori Novis pula, Tengku Amirul Haffirudin menyelamatkan maruah kontinjen Malaysia selepas mencipta kemenangan di Perlumbaan 2. Saingan perlumbaan akhir kedua turut menyaksikan kemenangan 1-2 buat kem Malaysia selepas rakan sepasukan Tengku Amirul, Mohd Ramdan Mohd Rosli beraksi cemerlang untuk menamatkan cabaran di tempat kedua.
Tengku Amirul, 14, dari Kuala Terengganu merakam masa 11:35.450m diikuti Ramdan 11:35.728m manakala pelumba Filipina, John Emerson Inguito berusia 15 tahun mengatasi pencabar Thailand, Kannasoot Sithisena bagi perebutan tempat ketiga. Terdahulu, pada Perlumbaan 1 di sebelah pagi, Kannasoot muncul wira Thailand selepas mudah mendominasi perlumbaan dengan catatan 11.38.324m mengatasi pencabar terdekat I Ketut Madiasta (11:42.822m) dari Indonesia dan pelumba negara, Mohd Rozaiman Zakaria di tempat ketiga dengan masa 11:44.755m.
Tengku Amirul menyifatkan persembahan sulung di pentas antarabangsa memberangsangkan sekalipun pada peringkat awal agak gugup berdepan pelumba luar terutama pencabar dari Thailand dan Indonesia. “Memang saya agak gugup pada saingan Perlumbaan 1. Keseluruhan, saya teruja berjaya membantu kem Malaysia memenangi perlumbaan. “Pada perlumbaan pertama saya agak tertekan sekalipun berada di grid hadapan tetapi kesilapan itu berjaya saya tebus pada saingan kedua dengan noktah kejayaan,” ujar Tengku Amirul yang yakin untuk memenangi saingan perlumbaan kedua.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak membantu Tengku Amirul meraih kedudukan terbaik dalam pungutan mata keseluruhan selepas hanya berada di tempat keempat dengan pungutan 28 mata hasil kedua-dua perlumbaan.
Kannasoot muncul juara keseluruhan dengan 38 mata diikuti pelumba Indonesia, I Ketut Madiasta yang mengumpul 30 di tempat kedua manakala pelumba Filipina, John Emerson di tempat ketiga dengan 29 mata.
Dengan itu, Piala Yamaha Asean menutup tirainya dengan Tim Indonesia selaku juara dengan kutipan 210 mata dari kedua-dua kelas Expert dan Novis. Tim Malaysia muncul naib juara dengan 167 mata diikuti Thailand, 135 mata dan Filipina keempat, 38 mata. Jepun dan India di tempat kelima dan keenam dengan tujuh dan enam mata.
No comments:
Post a Comment