Shahril Izzuwan Mohd Noor bertindak cemerlang untuk meraih kedudukan ketiga pada kedua-dua perlumbaan Expert di perlumbaan Piala Yamaha Asean yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka hari ini.
Shahril menamatkan Perlumbaan 1 dengan masa 10:45.108s manakala 10:41.319s pada Perlumbaan 2.
Juara Perlumbaan 1 adalah pelumba Indonesia Florianus Roy yang mengatasi cabaran pelumba lain selepas menamatkan cabaran 12 pusingan dengan masa 10:39.551 saat, diikuti pelumba Thailand, Jirawut Ratsamee dengan 10:41.880 saat.
Bagi Perlumbaan 2 pula, dua pelumba Indonesia, Feriando Herdian dan Iswandi Muis yang meraih tempat pertama dan kedua dengan catatan 10:37.795 saat dan 10:39.897 saat.
Shahril yang berusia 22 tahun berkata, "Saya bermula agak lambat pada kedua-dua perlumbaan akhir, namun akhirnya selepas beberapa pusingan awal barulah saya dapat mengejar satu persatu pencabar di depan."
"Bagi saya, keputusan ini sesuatu yang cukup positif dan amat menggembirakan saya sekalipun meraih tempat ketiga dan membantu kem Malaysia, ini merupakan pentas sulung bagi saya pada siri kejuaraan ini," jelas pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha AHM.
Florianus yang menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-4 muncul juara keseluruhan Kategori Expert setelah mengumpul 38 mata diikuti Iswandi dengan 33 mata sementara Shahril di tempat ketiga dengan 32 mata.
Bagi kategori Novis pula, Tengku Amirul Haffirudin menyelamatkan maruah kontinjen Malaysia selepas mencipta kemenangan di Perlumbaan 2. Saingan perlumbaan akhir kedua turut menyaksikan kemenangan 1-2 buat kem Malaysia selepas rakan sepasukan Tengku Amirul, Mohd Ramdan Mohd Rosli turut beraksi cemerlang untuk menamatkan cabaran di tempat kedua.
Tengku Amirul, pelumba berusia 14 tahun dari Kuala Terengganu merakam masa 11:35.450 saat diikuti Ramdan 11:35.728 saat sementara pelumba muda Filipina, John Emerson Inguito berusia 15 tahun mengatasi pencabar dari Thailand Kannasoot Sithisena bagi perebutan tempat ketiga.
Terdahulu, pada Perlumbaan 1 di sebelah pagi, Kannasoot muncul wira bagi Thailand selepas mudah mendominasikan perlumbaan dengan catatan 11:38.324 saat mengatasi pencabar terdekat I Ketut Madiasta (11:42.822 saat) dari Indonesia dan pelumba negara, Mohd Rozaiman Zakaria di tempat ketiga dengan masa 11:44.755 saat.
Tengku Amirul ketika ditemui menyifatkan persembahan sulung di pentas antarabangsa cukup memberangsangkan sekalipun pada peringkat awal agak gugup berdepan dengan pelumba luar terutama pencabar dari Thailand dan Indonesia.
"Memang saya agak gugup pada saingan pertama (Perlumbaan 1). Malah ini merupakan pengalaman pertama saya bersaing di pentas antarabangsa dan secara keseluruhannya saya cukup teruja berjaya membantu kem Malaysia memenangi perlumbaan hari ini.
"Pada perlumbaan pertama memang saya agak tertekan sekalipun berada di grid hadapan tetapi kesilapan itu berjaya saya tebus pada saingan kedua dengan noktah kejayaan," ujar Tengku Amirul yang cukup yakin untuk memenangi saingan perlumbaan kedua.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak membantu Tengku Amirul untuk meraih kedudukan terbaik dalam pungutan mata keseluruhan selepas hanya berada di tempat keempat dengan pungutan 28 mata hasil kedua-dua perlumbaan.
Pelumba Thailand, Kannasoot muncul juara keseluruhan dengan 38 mata diikuti pelumba Indonesia, I Ketut Madiasta yang mengumpul 30 di tempat kedua sementara pelumba Filipina, John Emerson di tempat ketiga dengan 29 mata.
Dengan itu, Piala Yamaha Asean menutup tirainya dengan Team Indonesia selaku juara dengan kutipan 210 mata dari kedua-dua kelas Expert dan Novis. Di tempat kedua muncul Team Malaysia dengan 167 mata diikuti Team Thailand dengan 135 mata dan Team Philippines keepat dengan 38 mata. Di tempat kelima dan keenam muncul Team Japan dan Team India dengan 7 dan 6 mata masing-masing.
No comments:
Post a Comment