Tengku Amirul Hafiruddin mungkin masih muda dan mentah dalam sukan pemotoran. Namun, disebalik jiwa mudanya itu, dia sudah meletakkan sasaran untuk menjadi pelumba sehebat Hafizh Syahrin Abdullah dan berazam menjadi salah satu nama besar dalam arena sukan pemotoran negara mahu pun antarabangsa.
Ketika ini, pelumba muda kelahiran Terengganu ini bersaing dalam Cabaran Yamaha 135LC, satu perlumbaan yang dianjurkan khusus untuk menarik minat remaja yang bercita-cita untuk menjadikan sukan pemotoran sebagai karier mereka.
Ia boleh dikatakan sebagai platform buat para remaja mempelajari asas perlumbaan selain meningkatkan tahap kemahiran mereka sebelum beralih arah ke kategori Wira, CP115 dan juga CP130. Tambahan lagi, persaingan di dalam kelas ini amat adil kerana semua pelumba dibekal dengan jentara Yamaha 135LC yang telah diselaraskan oleh pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd.
Jelas, tahun ini Tengku Amirul merupakan antara pelumba yang dilihat agak menyerlah tahun ini setelah berjaya menakluki gelaran juara bagi Cabaran Yamaha 135LC dengan baki satu pusingan lagi yang bakal berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka minggu ini. Mari kita mengenali anak muda ini dengan lebih terperinci.
PENGLIBATAN DALAM SUKAN PEMOTORAN
Ketika remaja lain menceburkan diri dalam sukan ini atas dorongan bapa atau dipengaruhi oleh saudara-mara mahu pun kawan-kawan, cerita Tengku Amirul agak berbeza.
Penglibatannya dalam sukan ini dipengaruhi oleh ibunya, Rosmah binti Ibrahim. Dia merupakan orang pertama memberi galakan dan sokongan seratus peratus selepas melihat sendiri minat yang mendalam pada Tengku Amirul terhadap sukan ini.
Tengku Amirul mula menjejak kaki di sukan pemotoran pada usia sembilan tahun. Seperti pelumba-pelumba lain, dia bermula dengan motosikal mini dan sepanjang penglibatannya, dia telah menjelajah ke seluruh Malaysia bagi menyertai pelbagai kejuaraan dan pertandingan.
Tidak puas dengan itu, Tengku Amirul membuat keputusan meninggalkan motosikal mini dan mengambil langkah berani beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS � perlumbaan motosikal paling berprestij di negara ini.
Pada waktu itu juga, bapanya, Tengku Hanafi bin Tengku Hassan mula memberi perhatian serius terhadap minat serta keghairahan Tengku Amirul. Sejak itu, mereka sekeluarga tidak akan melepaskan peluang untuk hadir di setiap lokasi perlumbaan bagi menemani serta memberikan sokongan moral kepada Tengku Amirul.
BARRY LEONG SEBAGAI MENTOR
Selain bapanya, pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, Barry Leong adalah antara individu yang turut memberi perhatian terhadap bakat terpendam pada Tengku Amirul.
Barry menyatakan bahawa pelumba muda ini mempunyai potensi untuk menjadi pelumba yang berjaya dengan syarat dia diberi bimbingan yang betul serta pendedahan dan latihan yang mencukupi.
Pertama kali mereka bertemu adalah pada perlumbaan Pusingan 2 di Kluang, Johor awal tahun ini dan di situ Barry sempat menurunkan sedikit ilmu bagaimana untuk menguasai litar yang agak teknikal serta tips mengawal perlumbaan.
Sejak dari saat itu, Tengku Amirul sering datang ke Kuala Lumpur untuk menyertai latihan kendalian Barry yang turut disertai idolnya, Hafizh. Di situ, dia akan mendapat ilmu yang cukup berguna daripada ‘sifu’ jentera dua roda, baik secara teori mahupun praktikal. Selain itu, dia turut menjalani latihan fizikal dan mental yang mencabar.
Bagi Tengku Amirul, dia berasa sangat bertuah kerana mendapat bimbingan daripada salah seorang daripada pengurus pasukan terbaik dalam industri ini yang turut mengasah kemahiran Hafizh.
Walaupun penat, latihan yang dilaluinya bersama Barry jelas berbaloi kerana dia kini selesa memimpin kedudukan keseluruhan Cabaran Yamaha 135LC. Andai dia berjaya meraih kejayaan podium pada perlumbaan penutup tirai di Pulau Pinang kelak, dia bakal membawa pulang gelaran juara keseluruhan.
IMPIAN MASA DEPAN
Meskipun masih muda, Tengku Amirul sudah mempunyai gambaran yang jelas mengenai hala tujunya di dalam masa lima tahun akan datang. Impiannya bukan sekadar untuk beraksi dalam Cub Prix, sebaliknya mahu melebarkan sayapnya ke saingan yang lebih berprestij seperti Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang menghimpunkan barisan pelumba-pelumba terbaik dari seluruh Asia.
Di situ, dia berharap untuk beraksi dalam Underbone 115cc sebelum beralih ke kategori Supersports 600cc di mana dia mahu mencari pengalaman mengendalikan jentera berkuasa tinggi dan melangkah setapak lebih dekat ke arah impiannya untuk menjadi pelumba wildcard dalam saingan MotoGP Grand Prix Malaysia pada masa akan datang.
Seperti pelumba lain, Tengku Amirul juga bercita-cita untuk beraksi dalam saingan MotoGP dan menjelajah ke seluruh dunia dan dia sedar untuk merealisasikan impian besarnya itu, dia perlu berkorban dan bekerja keras untuk meningkatkan kemahirannya.
No comments:
Post a Comment