jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, December 1, 2010

Tekad Ramdan


PELUMBA dalam prospek juara, Mohd Ramdan Mohd Rosli bertekad menamatkan cabaran sulung CP115 dengan bergaya di pusingan terakhir siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, hujung minggu ini.
Sekalipun mendahului kedudukan dengan kelebihan 22 mata, pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM itu enggan mengambil mudah perlumbaan minggu ini sebaliknya akan berjuang habis-habisan. Ramdan kini mengumpul 162 mata diikuti pencabar utama, Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang) yang mengumpul 140 mata. Sementara itu, dua pelumba, Mohd Adli Salihin dari Motul Yamaha YY Pang dan Mohd Iskandar Raduan (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) bersaing merebut kedudukan tiga pelumba teratas apabila mereka terikat di tempat ketiga (118 mata). Ramdan, 14, bukan hanya ingin bergelar juara CP115 tapi juga berhasrat memenangi perlumbaan hujung minggu ini.

“Saya tidak mahu beraksi ala kadar untuk perlumbaan akhir sekalipun peluang merangkul mahkota musim ini selamat biarpun sekadar menamatkan cabaran di tempat ke-12. Saya mahu mengambil pendekatan sebaliknya,” jelas Ramdan yang juga anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Mohd Rosli Mat Sudin. “Jika nasib menyebelahi kami, saya harap mampu menambah satu lagi koleksi kemenangan sebelum musim ini melabuhkan tirai. Ini pasti sesuatu yang hebat tatkala gelaran pasukan terbaik berada dalam genggaman ketika aksi di Sepang dua minggu lalu. Paling teruk pun, saya ingin menamatkan perlumbaan di kalangan lima pelumba terbaik.” Sepanjang musim ini, Ramdan memenangi tiga perlumbaan, di Alor Setar (Pusingan 1), Batu Kawan (Pusingan 3) dan Melaka (Pusingan 7), muncul naib juara dua kali dan sekali tempat ketiga. Keputusan paling teruk diperoleh di Kuala Terengganu (Pusingan 5) apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
“Dalam pasukan ini, kami tidak menggunakan istilah pelumba utama atau siapa yang harus menamatkan perlumbaan terlebih dulu. Jika saya memimpin saingan, Shahril Izzuwan Mohd Noor akan membantu dan begitu juga sebaliknya.

“Untuk itu, saya akan berusaha dengan Shahril bagi memastikan kami mampu beraksi baik dan mencapai sasaran di trek Padang Kota Lama,” kata Ramdan yang terbabit dalam dunia perlumbaan sejak 2009. Peminat sukan bermotor yang tidak berkesempatan berada di Pulau Pinang berpeluang menyaksikan debaran pusingan terakhir kategori Wira, CP115 dan CP130 yang disiar secara langsung di Astro Arena (saluran 801) pada hari Ahad bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang. Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di 03-8733 887 atau layari laman web www.malaysiancubprix.com.

No comments:

Post a Comment