jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, January 17, 2012

Tiga perlumbaan kategori satu pengeluar dalam Cub Prix

Honda meneruskan pencarian bakat-bakat baru menerusi kategori satu pengeluar
Dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pelumba muda, penganjur Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dengan kerjasama pengeluar motosikal, Hong Leong Yamaha Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd dan Suzuki Assemblers Sdn Bhd akan memperkenalkan tiga kategori satu pengeluar bagi musim 2012.
Perlumbaan satu pengeluar ini akan dikenali sebagai Siri Super Yamaha 135, Cabaran Honda Wave Junior dan perlumbaan Satu Pengeluar Suzuki Belang R yang akan bertindak sebagai landasan melahirkan dan membentuk bakat-bakat baru dunia perlumbaan motosikal.
Dengan 20 tempat yang tersedia dalam setiap kategori, ketiga-tiga perlumbaan ini akan memulakan saingan serentak dengan pusingan pertama di Stadium Batu Kawan pada Mac 31 dan April 1 dan berlangsung sebanyak 10 pusingan berturut-turut. Ini  membolehkan setiap pelumba dapat menerima pendedahan dan menyesuaikan diri dengan suasana perlumbaan yang begitu kompetitif.
Kesemua kategori ini terbuka kepada pelumba Malaysia yang berusia di bawah 20 tahun sahaja dan tidak pernah beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix. Selain itu, mereka juga perlu memenuhi syarat lain yang ditetapkan iaitu mempunyai ketinggian minimum 145 sentimeter dan berat badan maksimum 50 kilogram. Setiap pelumba yang terpilih akan diberikan latihan oleh pengeluar jentera mengikut kategori satu pengeluar masing-masing.
Pengarah Promosi, Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd, Ron Hogg memberi pujiannya terhadap sokongan padu pengeluar-pengeluar terhadap Kejuaraan ini dan menjelaskan kerjasama itu selari dengan objektif Cub Prix itu sendiri.
“Musim 2012 menandakan satu lagi pencapaian penting kepada Cub Prix apabila ketiga-tiga pengeluar, Yamaha, Honda, dan Suzuki tampil bersama-sama dengan kategori satu pengeluar masing-masing. Sebagai wakil Kejuaraan ini, usaha ini memang wajar diberikan pujian. Apa yang boleh saya katakan, program ini dapat digunakan oleh pengeluar-pengeluar untuk membangunkan industri perlumbaan motosikal selain menjadi platform untuk memperkenalkan dan memasarkan jentera yang dikeluarkan. Kami di pihak SAM pula akan mencuba sedaya upaya untuk memastikan semua pihak memperoleh kejayaan bersama di mana pelumba-pelumba baru ini turut berpeluang mengembangkan bakat mereka melalui perlumbaan ini.”
Ron menyarankan agar mereka yang berminat tidak melepaskan peluang ini kerana ia merupakan langkah terbaik bagi mereka untuk mendalami asas-asas perlumbaan. “Saya mengesyorkan agar remaja-remaja yang berminat membuat pendaftaran segera sebelum tarikh pendaftaran ditutup. Ini merupakan langkah terbaik untuk memulakan karier perlumbaan memandangkan semua kelengkapan selain latihan diberikan sekaligus mengurangkan beban mereka. Tambahan pula, dengan tahap kemahiran yang hampir sama, ini merupakan pentas terbaik untuk peserta-peserta mempelajari asas-asas perlumbaan sebelum beralih ke kategori terbuka yang pastinya lebih mencabar.
Antara pelumba-pelumba yang mencipta nama pada hari ini selepas memulakan aksi dengan perlumbaan satu pengeluar termasuklah Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) yang memenangi kategori CP130 ketika baru berusia 16 tahun pada 2010 dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) yang memenangi kategori CP115 pada tahun yang sama ketika berusia 15 tahun.
Bagi mereka yang berminat menyertai perlumbaan satu pengeluar boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di talian 03-8733 8787 untuk pendaftaran. Tarikh akhir pendaftaran pada 31 Januari 2012 (Selasa) dan untuk tujuan pemilihan, peserta-peserta akan dihubungi oleh pihak pengurusan setiap kategori satu pengeluar.

1 comment:

  1. salam bro xde cerita tentang pengambilan pelumba baru atas umur 20 taun ke?aku berminat nk try masuk...aku umur 22 xmasuk 23 lg...teringin nk try,klau dpt ok la,klau xdpt xpe la...aku minat sgt ngan lyn2 corner ni...klau ade mane2 team bukak blh le roger2 ye...

    ReplyDelete