jokisenja header

jokisenja header


Thursday, September 15, 2011

SEJENAK BERSAMA HAFIZH SYAHRIN


Pada usia 17 tahun dan baru memasuki musim kedua beraksi di pentas Asia, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya mencatat kejayaan membanggakan apabila dua kali berjaya menaiki podium di tempat ketiga dalam kategori SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) PETRONAS yang berlangsung di Jepun baru-baru ini. Kita lihat apa kata juara termuda CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS ini tentang kejayaan yang dicapainya.

CUB PRIX: Tahniah Hafizh kerana dua kali berjaya menaiki podium di Jepun. Bagaimana perasaan Hafizh selepas mencatat kejayaan ini?
Hafizh: Saya sangat gembira dengan kejayaan kali ini dan sebenarnya ia di luar jangkaan saya. Pada peringkat awal saya hanya meletakkan sasaran untuk berada di kelompok 10 pelumba terbaik namun tanpa di sangka saya dapat menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Saya begitu berbangga dengan kejayaan ini.

CUB PRIX: Jika di lihat pada tiga perlumbaan sebelum ini, Hafizh menunjukkan peningkatan ketara di sini. Mungkin ada beberapa faktor yang banyak membantu Hafizh kali ini.
Hafizh: Banyak perkara yang menyumbang kepada prestasi baik saya di sini. Jentera saya berada dalam keadaan yang cukup baik sewaktu perlumbaan di Jepun. Jurutera-jurutera pasukan berjaya mendapatkan pelarasan yang begitu serasi dengan saya dan juga dengan keadaan cuaca dan litar ini.

Selain itu saya turut mempelajari corak tunggangan baru terutama dengan menggunakan sistem suspense yang berbeza dan ia memberi kesan baik kepada corak tunggangan saya secara keseluruhannya. Penggunaan tayar baru iaitu Dunlop- Unbeaten 02 juga menambahkan keyakinan saya untuk menunggang dengan lebih laju. Pengalaman beraksi di Australia juga memberi banyak pendedahan dan pengalaman kepada saya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan terutama pengurus saya, Barry Leong, jurutera pasukan dan kru-kru, keluarga dan juga penaja-penaja kerana banyak membantu saya untuk mencapai kejayaan kali ini.

CUB PRIX: Bagaimana Hafizh melihat saingan di Jepun baru-baru ini?
Seperti pusingan-pusingan sebelum ini, suasana perlumbaan tetap sengit terutama dengan kehadiran pelumba-pelumba wildcard dari Jepun sendiri. Sebab itu saya sebenarnya tidak menyangka dapat mencatat kejayaan ini.

CUB PRIX: Bagaimana pula dengan sasaran Hafizh selepas ini?
Selepas ini selain Kejuaraan Cub Prix yang akan berlangsung di Kluang, Kejuaraan ARRC memasuki pusingan kelima yang akan berlangsung di China pada pertengahan Oktober nanti. Saya akan cuba untuk mengekalkan prestasi seperti ini dan berhasrat untuk mengulangi pencapaian yang serupa. Namun sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mencuba yang terbaik.

CUB PRIX: Hafizh juga dengarnya sedang menjalani ujian bagi mendapatkan tiket wildcard untuk beraksi di MotoGP dalam kategori Moto2 di Malaysia nanti. Bagaimana harapan Hafizh?
Pada masa ini saya bersama-sama dua lagi pelumba iaitu Mohd Zamri Baba dan Azlan Shah Kamaruzaman sedang menjalani latihan dan ujian bagi merebut dua tiket wildcard yang diberikan kepada pelumba negara. Sudah tentu saya mempunyai harapan dapat memiliki salah satu tiket yang diberikan. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya.

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment