jokisenja header

jokisenja header


Monday, September 27, 2010

Pelumba Muda Malaysia Ke Tahap Dunia












HAFIQ TERPILIH KE REDBULL ROOKIES CUP 2011
22 September 2010

PELUMBA cilik, Amirul Hafiq Mohd Azmi mengharumkan nama Malaysia dan mencatat sejarah dalam arena sukan bermotor tanahair apabila menjadi anak Malaysia pertama tersenarai dalam perlumbaan Red Bull MotoGP Rookies Cup musim depan.

Pelumba berusia 14 tahun itu menyertai senarai 13 pelumba lain dari seluruh dunia termasuk pelumba dari Amerika, Afrika Selatan dan New Zealand yang akan beraksi pada perlumbaan bagi musim 2011.

Di Sepanyol Hafiq ditemani bapanya, Mohd Azmi Yaacob selama tiga hari di trek latihan Monteblanco bermula dari 13 hingga 15 September bagi program pemilihan itu. Disebalik hanya memiliki sekumit pengalaman terhadap jentera GP125, Hafiq berjaya mencuri perhatian panel pemilihan dengan skil persembahan dan antara pelumba terpantas mencari laluan perlumbaan (raceline).

Azmi nyata begitu bangga dengan pencapaian yang dilakukan anaknya dan bersyukur bahawa nama Hafiq terpilih dalam program tersebut. "Seramai 67 peserta menyertai saringan ini dan kesemunya memiliki kelebihan dan rata-rata mereka (pelumba luar) cukup hebat. Malah adalah sebahagian daripada mereka adalah juara pada perlumbaan di negara mereka.

"Program pemilihan ini cukup kompertitif dan ia bukan mudah untuk dipilih namun saya perlu mengatakan bahawa Hafiq telah berjaya memperagakan persembahan yang baik dan berjaya menangani tekanan sepanjang program itu.

"Hari pertama, merupakan masa untuk Hafiq menyesuaikan diri dengan jentera dan memasuki hari kedua, dia mula menunjukkan peningkatan yang cukup banyak dan serasi dengan keadaan jentera terbabit. Menjelang hari ketiga program tersebut yang diadakan di litar yang lebih panjang, Hafiq terus memperagakan aksi yang mantap. Proses pemilihan bukan sahaja bergantung kepada kepantasan masa yang direkod oleh pelumba tetapi banyak aspek yang lain turut dititikberatkan," jelas Azmi menyentuh mengenai perkembangan program selama tiga tersebut.

Azmi yang juga bekas pelumba Cub Prix di awal tahun 90an berkata, "Ini adalah permulaan awal untuk melangkah ke pentas MotoGP bagi Hafiq dan dengan ikhlas saya mahu mengucapkan terima kasih kepada seorang ahli perniagaan yang yakin dengan kebolehan Hafiq dan menaja kami ke Sepanyol baru-baru ini. Saya harap, lebih ramai penaja lain yang sudi untuk memberi sokongan kewangan bagi saingan musim 2011 kelak.

Ketika ditanya, apakah Hafiq akan beraksi pada perlumbaan pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, hujung minggu ini, Azmi berkata, "Sudah pasti, dia akan beraksi pada perlumbaan yang akan datang. Dia masih muda dan memerlukan pendedahan yang sebanyak mungkin. Di pentas Cub Prixlah yang paling sesuai untuk mengasah bakatnya dan pada masa yang sama memperbaiki gaya tunggangannya," ujar Azmi lagi.

Buat masa ini, pelumba MOS Yamaha Racing itu berkedudukan tempat kelima keseluruhan kategori Wira dengan 53 mata. Pencapaian terbaik yang dilakukan Hafiq sepanjang kejuaraan musim ini ialah menduduki tempat kedua pada perlumbaan di Kluang (Pusingan 2) dan Sepang pada Pusingan ke-4 lepas.

Sekalipun meraih tiket bagi siri kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup musim depan, impian Hafiq untuk memahat nama dalam arena Cub Prix masih menebal dan berharap mengintai satu kemenangan musim ini. "Setiap kali saya berada di trek, samada diperingkat saringan atau perlumbaan akhir, saya mempunyai satu impian iaitu untuk memenangi perlumbaan. Bagaimanapun, harapan itu belum kesampaian buat masa ini dan saya masih berharap mampu memenangi satu perlumbaan sebelum musim 2010 berakhir. Lebih manis jika saya mampu melakukan di Melaka minggu ini," ujar Hafiq yang berasa gembira kerana terpilih ke Red Bull MotoGP Rookies Cup.

No comments:

Post a Comment