jokisenja header

jokisenja header


Monday, September 27, 2010

HAFIZH SYAHRIN JUARA DI MELAKA


PELUMBA prospek, Hafizh Syahrin Abdullah mengotakan janji untuk mengulangi kejayaan sulung di Teluk Intan selepas dengan memenangi perlumbaan akhir kategori CP130 Pusingan 7 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Kompleks Sukan Stadium Hang Jebat, Melaka, hari ini. 
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline itu bertindak bijak meluru ke hadapan sebaik perlumbaan dilepaskan untuk meninggalkan pencabar lain jauh di depan. Bagaimanapun hasrat pelumba berusia 16 tahun untuk terus menjarakkan kedudukan terbatas apabila jentera Yamaha-nya mula mengalami masalah mekanikal pada empat lap terakhir.
Kesempatan itu digunakan oleh bakal pelumba 'wild card' negara pada Kejuaraan Motosikal Grand Dunia (MotoGP) di Sepang, Md Zamri Baba (PETRONAS Sprinta Yamaha AHM) untuk mencabar kedudukan Hafizh dan pada pusingan terakhir di selekoh U, Zamri berjaya menghalang gerakan Hafizh namun Hafizh berjaya kembali di depan. 
Hafizh menamatkan saingan 15 pusingan dengan catatan 12:26.579s diikuti Zamri di tempat kedua (12:26.685s) sementara bekas juara Expert 2005, Norizman Ismail dari Harian Metro SCK Honda Racing meraih tempat ketiga dengan masa 12:29.786s.
"Ia satu perlumbaan yang cukup sengit pada saya terutama ketika babak terakhir apabila saya dicabar hebat oleh Zamri Baba dan jentera saya mengalami masalah ketika itu.
"Begitupun saya bersyukur berjaya memenangi saingan di Melaka. Ia menghidupkan peluang dan cita-cita saya memburu mahkota kejuaraan keseluruhan musim ini. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, peluang masih lagi terbuka (muncul juara keseluruhan) dan saya kini sedang berusaha untuk merealisasikan impian saya," jelas pelumba muda berusia 16 tahun itu.   
Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju Motor) yang menduduki tempat keempat perlumbaan akhir masih menerajui ranking keseluruhan dengan 127 mata diikuti Norizman, 110 mata dan Hafizh pula berada di tempat ketiga dengan 103 mata.
Dalam perebutan Anugerah Berpasukan kategori CP130, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha AHM masih lagi di hadapan pencabar lain dengan 177 mata diikuti pasukan Shell Advance Yamaha Maju Motor dengan 171 mata dan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline di tempat ketiga dengan 168 mata. 






No comments:

Post a Comment