KUALA LUMPUR - Mohd. Zamri Baba (gambar) yang mengidamkan kemenangan pertama musim ini, muncul pelumba terpantas sesi ujian masa perlumbaan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (Trek Selatan), semalam.
Pelumba wildcard tanahair pada kejuaraan MotoGP lepas, mencatatkan masa 1:21.534 saat pada pusingan ke-13, mengatasi dua calon juara CP130, Norizman Ismail dari SCK Honda Racing (1:21.775s) dan pelumba muda, Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) dengan masa 1:21.878s.
Seorang lagi calon juara yang juga pendahului keseluruhan, Ahmad Fazli Sham dari Shell Advance Yamaha Maju Motor, hanya mencatat 1:22.986s di tangga ke-11.
Zamri, yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha AHM, Zamri menyifatkan sesi ujian masa semalam adalah ujian permulaan dan segalanya hanya bermula pada perlumbaan sebenar hari ini.
"Saya tidak begitu teruja dengan catatan hari ini. Paling penting adalah keputusan esok.
''Saya agak terkejut juga dengan catatan hari ini, kerana saya tidak dapat hadir ke Sepang pada Khamis lepas untuk sesi latihan.
''Selain itu, saya juga tidak mempunyai rekod yang baik di Sepang.
''Hari ini, jentera saya berada pada tahap terbaik pada kedua-dua sesi ujian. Cuma saya membuat sedikit penukaran pada bahagian spoket di sebelah petang.
"Saya juga tidak kisah dengan pencabar-pencabar lain yang pada dasarnya mempunyai jentera dan kemahiran yang sama.
''Begitupun saya berharap dapat muncul juara di Sepang tetapi jika tidak berjaya, naik podium memadai buat saya," ujar Zamri.
Shahril Izzuwan Mohd Noor turut mencipta kejutan pada hari pertama perlumbaan Pusingan Ke-9 apabila berjaya mencipta masa terpantas sesi ujian masa kategori CP115.
Penunggang Petronas Sprinta Yamaha AHM itu mencatat 1:22.378s, mengatasi masa pelumba Motul Yamaha YY Pang, Zaidy Md Zaifaizal (1:22.997s) yang hanya meraih tempat kedua.
No comments:
Post a Comment