11 November 2010
Sejauh mana usia memainkan peranan apabila bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS AAM?
Mungkin ada yang menganggap pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin yang sudah mencecah usia 31 tahun sebagai pelumba paling tua pada kejuaraan ini, namun pada hakikatnya, ada seorang lagi pelumba yang semakin dimamah usia iaitu Ahmad Azhar Hamid, 35 yang masih gagah bersaing dalam Cub Prix.
Azhar yang mewakili pasukan Rock Oil HRS UTM Racing, adalah antara beberapa pelumba yang terus konsisten bersaing dalam kategori CP 130. Pada saingan Pusingan 5 di Kuala Terengganu awal bulan lepas, dia berjaya meraih 24 mata untuk berada di tempat ke-11 keseluruhan meskipun sebelum itu dia gagal menamatkan saingan Pusingan 4.
Keputusannya setakat ini menjadi tanda ukuran akan kemampuannya mengugat pelumba-pelumba elit namun ekoran kekurangan penaja, misinya terbantut.
Sesetengah pihak beranggapan bahawa bakat lebih penting daripada penajaan dan Azhar sendiri bersetuju dengan kenyataan tersebut. Tetapi apa yang pasti, tajaan tetap memainkan peranan penting terutamanya di dalam sukan pemotoran. Tidak hairan mengapa syarikat-syarikat gergasi sanggup melaburkan jutaan ringgit sebagai tanda sokongan kepada pasukan di dalam Kejuaraan Formula Satu mahupun MotoGP.
Ikuti temubual bersama Azhar dan pengurus pasukan, Muhd Nazri bagaimana penajaan boleh membantu pasukan Rock Oil HRS UTM Racing mencapai matlamat mereka.
Q. Kami difahamkan pasukan ini sedang mencari lebih banyak penaja. Boleh mengulas dengan lebih lanjut ?
Nazri & Azhar: Memang betul. Pasukan ini sedang mencari lebih ramai penaja bagi membantu dengan kerja-kerja pembangunan pasukan dan jentera. Pada masa ini, bajet kami sangat terhad dan ia menjejaskan usaha untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut dengan pantas dan efisien.
Q. Berdasarkan keputusan yang dicapai Azhar, dia boleh dianggap agak konsisten. Sekiranya ada penaja yang mahu tampil membantu, adakah Azhar boleh meraih keputusan yang lebih baik?
Nazri: Walaupun Azhar boleh dikategorikan sebagai pelumba veteran, semangat bersaingnya amat tinggi. Dia konsisten mengutip mata musim ini kecuali pada perlumbaan di Sepang dimana jenteranya mengalami masalah teknikal. Jika mendapat peruntukan yang lebih besar dan sokongan penaja, tidak mustahil bagi Azhar untuk mencapai keputusan yang lebih baik kerana kami akan mempunyai lebih banyak 'pilihan'.
Azhar: Saya yakin dengan kemampuan saya setiap kali turun ke gelanggang perlumbaan dan keputusan yang saya capai pada lima pusingan lalu telah membuktikannya.
Q. Apa 'pilihan' yang saudara sebutkan?
Nazri: 'Pilihan' yang saya maksudkan merujuk kepada modal mengendalikan pasukan. Dengan peruntukan yang lebih besar, kami boleh membeli alat ganti yang lebih baik, menjalankan lebih banyak R&D dan juga memudahkan urusan-urusan logistik. Sebagai pulangan, pihak penaja akan menerima liputan media terutamanya apabila Azhar berjaya menaiki podium kerana Kejuaraan Cub Prix merupakan sukan bermotor terbesar tanah air. Ia diadakan di seluruh Malaysia dan liputan medianya amat luas sekali.
Q. Boleh memberikan komen mengenai prestasi pasukan sekarang ini?
Nazri: Azhar bersaing dalam kategori CP130 dan ia melibatkan kos yang tinggi, dan setakat ini prestasi yang adalah sangat menggalakkan. Bagaimanapun, kami tidak mampu untuk menyediakan alat ganti yang lebih baik dan perbelanjaan juga perlu mengambil kira elemen-elemen lain.
Kami bernasib baik kerana Rock Oil tampil untuk menaja pada usingan 3 di Batu Kawan. Selain itu, pihak penganjur Kejuaraan Cub Prix telah menyediakan subsidi sekali gus membolehkan kami meneruskan cabaran dalam perlumbaan berprestij ini.
Q. Ia mungkin mengambil masa buat pasukan mencari penaja yang betul-betul berminat dan sementara menunggu impian itu menjadi kenyataan, apa yang pasukan ini akan lakukan?
Azhar: Kami faham betapa susahnya untuk mendapatkan penaja oleh itu buat masa ini, saya akan menumpukan perhatian untuk meningkatkan kemahiran perlumbaan bagi menambahkan keyakinan bakal penaja.
Nazri: Azhar akan terus fokus terhadap misinya sementara barisan mekanik akan mencari jalan terbaik untuk meningkatkan keupayaan jentera dengan bahan tersedia ada. Azhar adalah pelumba yang hebat dan maklum balasnya kepada pihak mekanik sentiasa membuahkan hasil. Pada masa sama, kami tidak akan berputus asa mencari penaja yang berminat menyertai arena sukan permotoran.
No comments:
Post a Comment