jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 2, 2010

RAZMAL IDAM MAHKOTA YAMAHA 135LC

Mohd Razmal Mohd Rohizad adalah antara pelumba muda yang membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini. Pelumba berusia 14 tahun ini bersaing dalam perlumbaan Cabaran Yamaha 135LC pada aksi pembuka tirai di Batu Kawan, Pulau Pinang.
 
Dia tampil hebat pada aksi pembukaan dengan mengambil bendera penamat pertamanya dan pada pusingan berikutnya di Sepang, dia menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Selepas itu, dia turut melakar kejayaan di Kuala Terengganu dan muncul sebagai pemenang tempat ketiga pada perlumbaan di Teluk Intan. Baru-baru ini di Melaka dia menamatkan perlumbaan di tempat keempat and di Pekan pula, Razmal memperolehi tempat kelima. Dengan itu, dia kini berada di tempat kedua keseluruhan dengan 103 mata, 8 mata di belakang pendahul, Tengku Amirul Haffiruddin yang mempunyai 111 mata.
 
Razmal yang berasal dari Bukit Tambun, Pulau Pinang mempunyai impian untuk mencipta nama dalam perlumbaan peringkat kebangsaan selain berharap untuk terus melangkah ke MotoGP pada masa hadapan.
 
Bagaimanapun, tumpuan utamanya kini ialah untuk membawa pulang gelaran juara keseluruhan Cabaran Yamaha 135LC dan meneruskan kariernya dalam kategori Wira tahun depan.
 
Bagi mengupas perjalanan kariernya, berikut temu bual dengan pelumba muda itu:
 
Razmal, boleh anda beritahu apa yang telah mendorong anda untuk menceburkan diri dalam perlumbaan ini?
 
Ia bermula kira-kira empat tahun lalu apabila saya melibatkan diri dalam perlumbaan pocket bike. Pada mulanya, ia sekadar satu hobi, tetapi lama kelamaan, ia berkembang lebih daripada itu. Penyertaan dalam perlumbaan pocket bike merupakan langkah pertama sebelum menjejak kaki ke sukan pemotoran.
 
Bagaimana pula berlaku peralihan daripada pocket bike kepada Kejuaraan Cub Prix?
 
Satu ketika dulu, semasa melalui saingan dalam aktiviti pocket bike, saya telah berkenalan dengan Abdul Muhaimin Roslan (Shell Advance Yamaha Maju) dan Mohd Rozaiman Mohd Said (Motul Yamaha YY Pang). Mereka bertanyakan kepada saya sama ada saya mahu menjadi pelumba profesional atau tidak dan mereka memperkenalkan Kejuaraan Cub Prix kepada saya dengan menyatakan bahawa perlumbaan tersebut adalah pentas terbaik untuk mencungkil bakat.
 
Bagaimana reaksi ibubapa apabila anda menyatakan minat anda kepada mereka untuk beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix?
 
Seperti biasa, pada mulanya mereka tidak bersetuju dengan hasrat saya. Tetapi selepas menjelaskan kepada mereka tentang faktor risiko adalah kurang serta peluang-peluang yang diperolehi melalui kejuaraan ini, mereka akhirnya tidak menghalang. Sejak dari situ, ibubapa saya terus memberikan sokongan moral kepada saya. Mereka akan meluangkan masa untuk hadir pada setiap perlumbaan dan menyaksikan saya berlumba.
 
Kini, anda berlumba sepanjang musim. Bagaimana anda membahagikan masa antara latihan, perlumbaan dengan waktu persekolahan serta aktiviti lain?
 
Kesuntukan masa bukan satu masalah buat saya kerana latihan dan perlumbaan diadakan pada hujung minggu. Sekiranya adanya latihan pada hari-hari biasa, ia akan diadakan selepas waktu persekolahan. Begitupun, keutamaan saya tetap diberikan kepada akademik, jika tidak ibubapa saya tidak akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap minat saya dalam sukan pemotoran.
 
Anda menjalani latihan dengan siapa?
 
Selalunya, saya berlatih dengan Nurahmad Fariznazreen. Kami bersama-sama menunggang motocross di Batu Kawan bagi meningkatkan tahap kecergasan. Selain itu, kami juga melakukan senaman serta berjoging.
 
Apa pandangan anda selepas menjadi sebahagian daripada keluarga Cub Prix serta telah beraksi dalam empat pusingan?
 
Apa sahaja berkenaan Cub Prix merupakan sesuatu yang sangat membanggakan terutama tahap persaingannya yang sihat. Walaupun semua pelumba dalam kategori Yamaha 135LC merupakan muka baru seperti saya, tetapi mereka sebenarnya memiliki bakat tersendiri. Dengan itu, jika mahu terus berada di hadapan mereka, saya harus berusaha dan tidak mudah putus asa.
 
Di luar gelanggang perlumbaan pula ceritanya sudah berbeza. Saya telah berjumpa dengan ramai orang selain mempunyai kawan baru dalam setiap pusingan. Suasana serta persekitaran seperti ini memudahkan saya untuk menyesuaikan diri. Lagipun, berkawan dengan pelumba lain akan membawa manfaat kerana dari situ, kita akan berkongsi pengalaman serta teknik-teknik mengharungi perlumbaan.
 
Apa komen anda tentang prestasi yang telah dipamerkan setakat ini?
 
Setakat ini, segala-galanya nampak lancar. Saya sudah menjejak kaki ke podium sebanyak tiga kali dan berhasrat mengekalkan momentum cemerlang ini bagi menghadapi baki empat lagi pusingan di Melaka, Pahang, Sepang dan di negeri kelahiran saya, Pulau Pinang.
 
Cita-cita saya adalah untuk muncul juara keseluruhan. Untuk meralisasikannya, saya harus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dan pada masa yang sama, saya akan menganalisis gaya tunggangan para pelumba kategori CP130, CP115 dan Wira. Dengan berbuat demikian, saya boleh mempelajari bagaimana cara pelumba elit mengharungi perlumbaan.

No comments:

Post a Comment