BIARPUN menguasai kedudukan utama dalam saingan CP130, kedudukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline untuk muncul juara keseluruhan bagi kelas perdana itu belum terjamin dan mereka perlu menang apabila turun beraksi di Pusingan 9 Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Sepang Selatan, hujung minggu ini.
Membariskan dua pelumba, Azlan Shah Kamaruzaman dan pelumba muda, Hafizh Syahrin Abdullah, Petronas Sprinta Yamaha Raceline kini mendahului senarai kedudukan pasukan dengan 209 mata susulan kejayaan Hafizh yang menjuarai perlumbaan Pusingan 8 di Pekan, Pahang manakala Azlan di tempat ketiga.
Begitupun kedudukan selaku pendahulu belum selesa apabila dicabar hebat pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing yang hanya ketinggalan 12 mata untuk berada di tempat kedua diikuti Shell Advance Yamaha Maju, ketiga (183 mata).
Kedua-dua pasukan itu membariskan pelumba hebat Cub Prix seperti Md Zamri Baba yang pernah beraksi sebagai pelumba wild-card untuk cabaran Moto2 dan juara bertahan, Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) dan juara dua kali kategori Expert, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju). Justeru pengurus pasukan, Barry Leong memberi amaran supaya Azlan dan Hafizh tidak berasa selesa dengan apa yang mereka capai setakat ini.
“Perjuangan masih jauh. Masih ada dua perlumbaan lagi dan apa saja boleh berlaku dalam tempoh itu. Kami masih belum pasti menjuarai perlumbaan seterusnya jadi saya perlu mengingatkan Azlan dan Hafizh jangan sesekali berputus asa biar apapun yang terjadi,” kata Bar- ry.
Katanya, seluruh pasukan bekerja keras untuk baki dua perlumbaan seterusnya kerana sedar pasukan lawan akan melakukan yang terbaik untuk merangkul mata maksimum bagi menjamin kedudukan lebih selesa hingga tamat musim.
Peminat sukan permotoran yang mahu menyaksikan perlumbaan, tiket boleh didapati di Maju Motor, Shah Alam (03-55108036), Ah Hong Motor, Kuala Lumpur (03-40417576), YY Pang Racing Motor, Shah Alam (03-51215821), Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Kajang (03-87348787), Raceline Motorcycle, Petaling Jaya (03-77852400, 77859500), SCK Motor, Shah Alam (03-55112594), Shahrol Yuzy Motor, Puchong (03-8318 6062), Liberty Motor, Puchong (03-80702227) dan Artree Motor, Petaling Jaya (012-6719522). Setiap pembelian tiket bakal menerima baucer Petronas bernilai RM10, buku program Cub Prix dan 1,000 penonton terawal pula akan menerima topi kejuaraan daripada penganjur.
No comments:
Post a Comment