MOHD. Adib Rosley dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Wira Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas bagi musim 2010.
Ia diperoleh selepas pelumba pasukan Motul YY Pang itu muncul juara pada saingan Pusingan 9 yang berlangsung di Litar Sepang Utara semalam.
Saingan di Sepang merupakan pusingan kedua terakhir musim ini sebelum ia menutup tirai di Pulau Pinang pada 4 dan 5 Disember depan.
Adib mengesahkan gelaran juara keseluruhan lebih awal selepas memenangi perlumbaan Pusingan 9 itu semalam ketika pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukan, Mohd. Azhar Abdul Jalil menarik diri akibat masalah mekanikal.
Adib menamatkan perlumbaan sembilan pusingan itu dengan kepantasan 12 minit 57.637 saat, 0.037 saat lebih pantas daripada Mohd. Syawalludin Mohd Zaki (Modenas FortyOne Racing) yang berada di tempat kedua apabila mencatatkan masa 12:57.674s.
Zulsyafiz Rosli dari pasukan MOS Yamaha Racing menghuni tempat ketiga dengan catatan 13:04.611s.
"Saya tidak sedar jentera Mohd. Azhar gagal berfungsi pada pusingan kelapan.
"Pada mulanya kami bertiga bersaing hebat untuk menerajui perlumbaan.
"Selepas Azhar menarik diri, perebutan untuk memburu kemenangan menjadi rebutan antara saya dengan Syawalludin," kata pelumba berusia 16 tahun itu.
"Saya bersyukur kerana kejayaan memihak kepada saya. Terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk pihak penaja, pengurus pasukan, YY Pang dan seluruh petugas pasukan."
Dengan kemenangan itu, Adib terus menghuni kedudukan teratas apabila mengumpulkan 166 mata diikuti Azhar (133) dan Syawalludin dengan 125 mata.
Sementara itu, dalam kategori CP130, Norizman Ismail berada dalam kelasnya yang tersendiri sele- pas memimpin perlumbaan untuk merekod kemenangan kali ketiga pada musim ini.
Pelumba pasukan SCK Honda Racing itu muncul juara dengan kele- bihan 2.254 saat di hadapan pelum- ba Petronas Sprinta Yamaha AHM, Mohd. Zamri Baba.
Norizman menamatkan perlumbaan dengan catatan 17:45.950s, manakala Mohd. Zamri di tempat kedua dengan 17:48.204s dan pelumba Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah berada di tempat ketiga dengan 17:48.248s.
"Pada pusingan keempat, saya mengambil risiko untuk menjarakkan diri daripada pencabar-pencabar saya.
"Saya berbuat demikian kerana saya tidak seratus peratus yakin sama ada mampu mencatat kejayaan atau tidak kerana jentera mereka semua sangat kompetitif.
"Akhirnya saya berjaya mengekalkan konsistensi sehingga ke gari- san penamat."
Ekoran kemenangan itu, Norizman kini memimpin kategori kese- luruhan dengan 146 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (145) dan Hafizh Syahrin, 127 mata.
Dalam pada itu, kategori pasukan CP130 kini menyaksikan pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline terus berada di hadapan dengan 236 mata, kemudian diikuti dengan Petronas Sprinta Yamaha AHM (277 mata) dan Shell Advance Yamaha Maju (196 mata).
Bagi kategori CP115 pula, Mohd. Rozaiman Mohd. Said terus cemerlang apabila berjaya merekod keme- nangan kedua pada musim ini.
Pelumba Motul Yamaha YY Pang itu menamatkan perlumbaan dengan merekod masa 15:26.884s, diikuti oleh Shahril Izzuwan Mohd. Noor dari Petronas Sprinta Yamaha AHM dengan 15:26.922s, manakala Mohd. Ramdan Mohd. Rosli berada di tempat ketiga dengan catatan 15:26.962s.
"Saya gembira dengan kemenangan ini dan saya mahu berterima kasih kepada rakan sepasukan saya, Zaidy Mohd Zaifaizal atas kemena- ngan ini kerana dia membantu saya menjarakkan kedudukan saya dengan dua pencabar saya untuk mendahului perlumbaan," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.
Begitupun, Mohd. Rozaiman masih menghuni kedudukan kedua dengan pungutan 140 mata manakala Mohd. Ramdan masih di kedudukan teratas dengan 162 mata.
No comments:
Post a Comment