PENUNGGANG Motul Yamaha YY Pang, Mohd Adib Rosley mengesahkan kedudukan selaku juara kategori Wira 2010 selepas merakam kemenangan keenam pada perlumbaan akhir Pusingan 9 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.
Kejayaan pelumba Motul Yamaha YY Pang itu sekali gus menebus kekecewaan dialami musim lalu selepas muncul naib juara. Dia melakukan 12:57.637 minit untuk menamatkan cabaran 9 pusingan mengatasi pencabar terdekat Md Syawalludin Md Zaki dengan perbezaan 0.037 saat. Sementara Zulsyafiz Rosli (MOS Yamaha Racing) berada di tempat ketiga dengan masa 13:04.611 minit.
Pada perlumbaan akhir itu, tiga pelumba, Adib, Azahar dan Md Syawalludin Md Zaki (Modenas Forty One Racing) silih berganti menerajui perlumbaan sebelum Azhar terpaksa mengalah pada pusingan ke-8 apabila mengalami masalah jentera.
“Ia satu perlumbaan yang sengit dan saya tak sangka muncul juara kerana tentangan diberikan Azhar dan Syawal pada peringkat awal terlalu hebat. Saya simpati nasib Azhar yang gagal menamatkan perlumbaan,” ujar Adib. Dengan baki satu pusingan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, Adib kini mengumpul 166 mata manakala Azhar di tempat kedua, 133 mata. Pelumba Modenas Forty One Racing, Md Syawalludin menambah kutipan mata di Sepang untuk mengumpul 125 mata. Sementara itu, Norizman Ismail sekali lagi membuktikan penguasaan di litar besar selepas mudah mengetepi cabaran pelumba lain sekali gus mendominasi perlumbaan akhir kategori CP130.
Penunggang pasukan Harian Metro SCK Honda Racing yang memulakan saingan di petak ketiga pantas berada di kelompok depan dan sesekali cuba memimpin perlumbaan sebelum bertindak bijak meninggalkan pencabar lain pada pertengahan saingan. “Sehingga saingan pusingan keempat baru saya berjaya menjarakkan kedudukan seterusnya mengekalkan persembahan hingga ke garisan penamat.
“Kemenangan ini tidak dijangka apatah lagi bermula di petak ketiga dan keputusan selaku pelumba kedua terpantas,” ujar Norizman ketika mengulas mengenai persembahannya. Pelumba kelahiran Sungai Buloh itu menyempurnakan 13 pusingan dengan catatan masa 17:45.950 minit dengan kelebihan 2.254 saat di depan Md Zamri Baba (Petronas Sprinta Yamaha AHM) di tempat kedua (17:48.204 minit), sementara Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline di tempat ketiga dengan masa 17:48.248 minit. Kemenangan Norizman membolehkannya merampas kedudukan selaku pendahulu dengan kutipan 146 mata, lebih satu mata berbanding Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju Motor) 145 mata diikuti Hafizh di tempat ketiga dengan 144 mata. Sementara Md Zamri Baba yang berada di tempat keempat dengan 127 mata turut berpeluang mencabar mahkota juara. Sementara itu, hasrat pendahulu keseluruhan kategori CP115, Md Ramdan Md Rosli untuk meraikan kemenangan lebih awal tidak kesampaian apabila dia sekadar menduduki tempat ketiga perlumbaan akhir CP115. Sebaliknya, Md Rozaiman Md Said (Motul Yamaha YY Pang) memberi tekanan ke atas pendahulu itu selepas berjaya memintas di saat-saat akhir rakan sepasukan Ramdan, Shahril Izzuwan Mohd Noor dengan catatan masa 15:26.884 saat disusuli Shahril (15:26.922 saat) sementara Ramdan di tempat ketiga dengan mas 15:26.962 saat.
“Strategi antara saya dan Zaidy pada final adalah bantu membantu satu sama lain. Jika sesiapa di depan, salah seorang kena menolong rakan di belakang bagi memintas angin.
“Kejayaan saya hari ini banyak dibantu oleh Zaidy walaupun pada peringkat awal saya hanya mensasarkan kedudukan tempat ketiga atau keempat sahaja,” ulas Rozaiman mengenai persembahannya. Kejayaan Rozaiman membolehkannya merapatkan jurang mata kepada 23 mata kepada Ramdan dan pusingan terakhir di Padang Kota Lama, Pulau Pinang menjadi gelanggang terbaik bagi kedua-dua pelumba untuk mengesahkan kedudukan mereka.
No comments:
Post a Comment