jokisenja header

jokisenja header


Friday, November 19, 2010

Hafizh lebih yakin

HASIL keputusan sesi ujian kelmarin di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan), Hafizh Syahrin Abdullah kini lebih yakin menghadapi Pusingan 9 siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas hujung minggu ini.
Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline itu mencatatkan masa konsisten 1:21.800 saat, hanya sesaat kurang dari rekod masa sepusingan terpantas Sepang Selatan (1:20.642s), yang dicipta Ahmad Fazli Sham (Shell 
Advance Yamaha Maju) tahun lalu.

“Walaupun masa saya gagal mengatasi rekod terpantas Ahmad Fazli, saya tetap puas hati.
“Kami kini menemui rentak lebih lancar sekali gus membuktikan sesi ujian itu tidak sia-sia.

“Terima kasih kepada mekanik pasukan yang memberikan pelarasan terbaik pada jentera Yamaha dan saya harap kerjasama ini berterusan pada perlumbaan minggu ini,” kata Hafizh.

Pelumba berusia 16 tahun itu kini lebih bersedia dari segi mental untuk mencabar Fazli yang mengetuai carta keseluruhan kelas CP130 dengan 136 mata, diikuti rapat Hafizh, 128 mata. Tempat ketiga milik Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang mengumpul 121 mata.“Selepas sesi ujian tempoh hari, saya rasa lebih bersedia memenangi perlumbaan keempat musim ini sekali gus merampas kedudukan pendahulu CP130 daripada Ahmad Fazli. “Misi ini tidak mustahil memandangkan Fazli hanya memiliki kelebihan lapan mata dan Sepang peluang terbaik mencapai objektif itu,” ulas Hafizh.

Bagaimanapun, Hafizh yakin bukan mudah melaksanakan misinya itu.
“Saya jangka Fazli dan Norizman pasti memberikan saingan sengit memandangkan mereka berdua amat pantas di litar panjang dan juga lebih berpengalaman.” Sementara itu, Pengurus Petronas Sprinta Yamaha Raceline, Barry Leong memuji keupayaan Hafizh.

“Pada separuh musim kedua, Hafizh menunjukkan peningkatan. Hasil usaha gigih dan kesungguhan membantu Hafizh mempamerkan aksi cemerlang di setiap perlumbaan sekali gus meletakkannya setaraf dengan pelumba lebih berpengalaman. Saya harap dia akan terus mengekalkan momentum dan menambah koleksi trofi kemenangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment