MOHD. Amin Azahar akan beraksi dalam kategori CP130 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang dijadualkan berlangsung di Litar Sepang Selatan pada 20 hingga 21 November ini.
Pengurus pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing, Kenny Chua membuat keputusan tersebut bagi membolehkan Mohd. Amin mendapat pendedahan yang secukupnya sebelum bersaing secara sepe- nuh masa dalam kategori elit itu.
Sebelum ini, Mohd. Amin bersaing dalam kelas CP115.
Dia juga akan diturunkan beraksi dalam kategori elit itu pada pusingan penutup tirai di Padang Kota, Pulau Pinang bulan depan.
Kenny berharap perubahan itu akan menyemarakkan lagi semangat Mohd. Amin yang setakat ini kurang kompetitif beraksi dlaam kelas CP115.
Selain itu, dia juga berharap peluang berlumba dengan pelumba senior akan membolehkan anak didiknya itu meraih banyak pendedahan dan pengalaman sebagai persiapan menghadapi musim depan.
Ini bukan kali pertama Mohd. Amin beraksi dalam kelas perdana CP130.
Sebelum ini dia pernah disenaraikan untuk beraksi dalam kelas perdana itu pada saingan Pusingan 6 di Teluk Intan, Perak September lepas.
Pada perlumbaan itu, dia berjaya meraih petak kelima tetapi gagal menamatkan perlumbaan.
Ditanya mengenai langkah meletakkan Mohd. Amin beraksi dalam kelas perdanan itu, Kenny berkata: “Amin tidak mempunyai peluang untuk merangkul gelaran juara musim ini dan kini dia hanya berada di tangga ke-13 kelas CP115 dengan 29 mata.
“Dengan itu, Amin tidak rugi apa-apa jika kami meletakkannya bersaing dengan pelumba senior. Bagi kami, ia merupakan satu langkah yang wajar untuk memulakan persiapan bagi menghadapi musim depan.
“Saya berharap Amin akan menggunakan perubahan sementara ini sebaik mungkin bagi menyemarakkan semula semangat juang selain mempelajari ilmu baru daripada pelumba yang lebih berpengalaman.
“Ini adalah peluang terbaik buat Amin bersiap sedia untuk menghadapi musim depan. Bakat dan potensinya cukup cerah dan saya harap dia mampu mengutip seberapa banyak pengalaman dalam dua perlumbaan terakhir musim ini.”
Mengulas prestasi Mohd. Amin setakat ini, Kenny menjelaskan: “Stamina merupakan halangan utama Amin. Ia menyebabkannya kurang konsisten selain menjadi salah satu faktor mengapa dia sering terbabas.
“Dia perlu berusaha dengan keras lagi bagi memperbaiki maslaah ini sebelum dia boleh mencapai keputusan yang baik di masa hadapan.”
Sementara itu, rakan sepasukannya, Mohd. Ramdan Mohd. Rosli kini mendahului carta keselu- ruhan kelas CP115 dengan 146 mata diikuti pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd. Rozaiman Mohd. Said dan Mohd. Adli Salihin yang berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan 115 dan 108 mata.
Tiket untuk menyaksikan perlumbaan Pusingan 9 ini dijual pada harga RM20.
Bagi peminat sukan pemotoran yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlumbaan ini, tiket sudah mula dijual di tempat-tempat terpilih iaitu di Maju Motor, Shah Alam (03-55108036); Ah Hong Motor, Kuala Lumpur (03-40417576); YY Pang Racing Motor, Shah Alam (03- 51215821); Safe Aim Mutual Sdn. Bhd., Kajang (03-87348787); Raceline Motorcycle, Petaling Jaya (03-77852400, 03- 77859500); SCK Motor, Shah Alam (03-55112594); Shahrol Yuzy Motor, Puchong (03-83186062); Liberty Motor, Puchong (03-8070 2227) dan Artree Motor, Petaling Jaya (012-6719522).
Setiap pembelian tiket bakal menerima baucar Petronas bernilai RM10, buku program Cub Prix dan 1,000 penonton terawal pula akan menerima topi kejuaraan dari- pada pihak penganjur.
No comments:
Post a Comment