jokisenja header

jokisenja header


Friday, November 19, 2010

FITRI ALIH TUMPUAN Harap Kekal Dikalangan Tiga Pelumba Terbaik

Ketika peluangnya jelas tidak secerah tiga pencabar lain bagi perebutan gelaran Wira 2010, Mohd Fitri Ashraf Razali mula bertukar nada dengan sasaran terbarunya dengan mengalih tumpuan untuk merebut kedudukan tempat kedua keseluruhan musim ini.
 
Untuk itu, dia berharap sekurang-kurangnya meraih kedudukan podium pada pusingan ke-9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Trek Selatan) pada 20 dan 21 November ini.
 
Pelumba Caviaga Cilik Racing berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 92 mata, ketinggalan 49 mata kepada pendahulu keseluruhan, Mohd Adib Rosley dari Motul Yamaha YY Pang yang kini mengutip 141 mata. Sementara itu, rakan sepasukan Adib, Mohd Azhar Abdul Jalil di tempat kedua dengan 133 mata diikuti Mohd Syawalludin Mohd Zaki (FortyOne Racing) di tempat ketiga dengan 105 mata.  
 
Begitu pun, secara matematik Fitri masih memiliki peluang sekalipun pelumba muda berusia 16 tahun hanya mempunyai peratusan yang cukup tipis bergelar juara. "Sekali pun, saya memenangi kedua-dua baki pusingan terakhir ini, harus diingat, Adib hanya memerlukan satu mata untuk mengetepikan saya daripada memiliki gelaran juara Wira.
 
"Oleh itu, saya tidak mahu memberi harapan palsu samada diri sendiri atau pasukan sebaliknya saya kini mengintai kedudukan yang lebih realistik dengan tempat kedua jadi sasaran terbaru saya.
 
"Sekali pun begitu, ia bukan suatu perkara yang mudah. Azhar merupakan pelumba yang cukup konsisten ditambah kami dibezakan 41 mata  satu angka yang jelas cukup besar perbezaannya. Selain itu, dia sudah pastinya akan bertungkus-lumus untuk membuat yang terbaik bagi dua perlumbaan yang akan datang untuk mempertahankan gelaran Wira miliknya.
 
"Bagaimanapun, saya berpendapat tidak salah untuk saya mencuba dan objektif saya hujung minggu ini adalah menamatkan cabaran dikalangan tiga pelumba terbaik perlumbaan akhir.  
 
"Saya sebenarnya cukup dahagakan kedudukan podium. Sudah cukup lama saya tidak mengecapi nikmat sebegini dan sepanjang fasa kedua musim ini saya gagal mencapai apa-apa keputusan yang mampu dibanggakan.
 
"Kali terakhir saya berada di atas podium ialah di Kuala Terengganu (Pusingan 5) dengan menduduki tempat ketiga dan selepas itu segalanya jelas tidak menjadi buat saya. Saya harap mampu melakar keputusan yang bagus pada baki dua perlumbaan ini sebelum tirai perlumbaan berakhir," jelas Fitri.
 
"Pada peringkat awal musim, saya sekadar mensasarkan kedudukan tempat kelima. Begitupun dengan apa yang saya capai sekarang, saya sebenarnya sudah berjaya mengatasi sasaran itu. Bagaimanapun, kedudukan itu menguatkan keazaman saya untuk melakar kedudukan yang lebih tinggi dengan harapan mengakhiri cabaran dikalangan tiga pelumba terbaik musim 2010 ini," ujar Fitri mengenai impiannya.

No comments:

Post a Comment