TEKANAN kini makin memuncak buat Ahmad Fazli Sham untuk merealisasi impiannya bergelar juara keseluruhan kategori CP130 ketika Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS semakin hampir melabuhkan tirai.
Fazli tidak rela kehilangan mata pada pusingan kedua terakhir musim ini yang berlangsung di Litar Sepang Utara pada hujung minggu ini. Dengan baki dua pusingan untuk diharungi, juara kelas Expert musim 2007 dan 2008 ini mula merasakan dirinya diancam kebangkitan dipamer pencabar terdekat, Hafizh Syahrin Abdullah dan Norizman Ismail.
Selepas mengharungi lapan pusingan, pelumba pasukan Shell Advance Yamaha Maju ini mendahului kedudukan keseluruhan kelas CP130 dengan 136 mata. Dia sekadar mempunyai kelebihan lapan mata ke atas Hafizh yang menggalas cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline. Hafizh mengumpul 128 mata manakala pelumba pasukan Harian Metro SCK Honda Racing, Norizman pula berada di tempat ketiga dengan 121 mata. Senario ini berpunca daripada prestasi Fazli yang dilihat merudum ketika perlumbaan memasuki fasa kedua musim ini sekali gus mencetuskan kebimbangan gagal melaksana misi mengejar gelaran juara keseluruhan.
“Saya puas mengungguli kategori ini tapi kedudukan saya kini belum selamat.
“Kegagalan menjejak kaki di podium pada saingan fasa kedua mengubah segala-galanya terutama apabila Hafizh dan Norizman semakin garang mencabar.
“Hafizh berjaya mencatat kemenangan hatrik sementara Norizman dua kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Saya pula hanya berjaya menduduki tempat ketujuh pada pusingan sebelum ini selain menduduki tempat keempat dua kali,” kata Fazli.
Begitupun, Fazli belum mahu menyerah dan berazam mengembalikan prestasi cemerlangnya pada Pusingan 9 di Sepang hujung minggu ini. Sepang Utara litar kegemarannya dan dia memiliki rekod cemerlang di litar tersebut. Dia meraih kejayaan empat kali berturut-turut di litar berkenaan iaitu pada saingan musim 2006, 2007, 2008 dan 2009.
Kini dia mengharapkan rekod cemerlang itu berulang musim ini. “Saya perlu mengembalikan rentak kemenangan dan berharap melakukannya di Sepang. Jika ia mampu dicapai, saya tidak perlu bimbang kerana ia akan mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan.
“Keutamaan saya pada perlumbaan akan datang adalah untuk menang. Jika gagal melakukannya, strategi kedua saya ialah menamatkan perlumbaan di hadapan Hafizh dan Norizman,” kata pelumba berusia 28 tahun itu.
No comments:
Post a Comment