jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, November 9, 2010

Bisa pelumba muda



BUKANNYA satu tugas mudah memecah dominasi penunggang 'expert' dalam kategori kompetitif CP130 tetapi baru-baru ini pelumba muda mula mempamerkan keupayaan mereka dengan memenangi perlumbaan dan menaiki podium.
Hingga kini, kategori CP130 menyaksikan penyertaan penunggang berusia 15 tahun, Mohd Zaqhwan Zaidi, Hafizh Syahrin Abdullah, 16, Abdul Muhaimin Roslan, 19, Mohd Amirul Ariff Musa, 19 dan Emir Firdaus Hasan, 21. 
Sesetengah mereka mencuri tumpuan dengan segera, sesetengah masih dalam proses awal pembelajaran dan sesetengah bergelut. Ikuti bagaimana kejayaan pelumba muda setakat ini dan komen daripada pengurus pasukan mereka mengenai persembahan pelumba mereka.





>PROFIL:
Hafizh Syahrin Abdullah, 16 tahun
Petronas Sprinta Yamaha Raceline
Pencapaian - Juara Novis 2009

"Kerana ini musim penuh sulung saya bertanding dengan pelumba ternama, saya bersyukur kerana meraih keputusan positif terutama apabila melakar kemenangan hatrik baru-baru ini di Pekan dan dua kali muncul naib juara. Saya menduduki tangga keempat sekali dan dua kali gagal menamatkan perlumbaan. Secara keseluruhan saya gembira dengan pencapaian saya setakat ini dan berharap untuk merangkul kejuaraan keseluruhan tahun ini.

"Saya mahu meneruskan persembahan bagus dan saya fikir saya tidak hanya bergantung kepada nasib semata-mata tapi saya yakin bahawa pasukan kami menemui pelarasan enjin tepat. Saya juga meningkat daripada segi corak tunggangan. Kombinasi faktor ini menyumbang kepada persembahan baik sepanjang musim."


Apa kata pengurus pasukan, Barry Leong
"Memang tidak dapat dinafikan Hafizh berbakat tapi dengan adanya bakat tanpa sebarang usaha juga tidak akan membuahkan hasil. Dengan itu, kami memastikan Hafizh memperoleh latihan mencukupi untuk mengekalkan prestasi cemerlangnya.
Walaupun berdepan dengan pelumba berpengalaman, Hafizh tidak gentar tapi mempamerkan aksi mantap. Bukan itu saja, malah dia memiliki tahap fizikal dan mental kuat serta kekuatan diri untuk melakukan yang terbaik. Saya harap dia akan kekalkan sikap positif ini dan semoga berpeluang untuk mencabar Ahmad Fazli Sham dan Norizman Ismail."


>PROFIL:
Mohd Emir Firdaus Hasan, 21 tahun
Honda Idemitsu Racing
Pencapaian - Juara Wira epg 2007

"Ini adalah musim kedua saya berlumba dalam kelompok utama dan secara jujur, saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya. Namun saya fikir, tunggangan saya lebih bagus daripada tahun lalu. Dengan pendedahan tambahan berlumba dalam kategori SuperSports 600cc pada Siri Super Malaysia (MSS), ia meningkatkan tahap keyakinan, mental dan fizikal lebih kuat. Malangnya, saya masih tidak mencapai keputusan yang dimahukan dan persembahan terbaik saya hanyalah di tangga keenam.

"Saya fikir daripada segi kemahiran penunggang veteran dan muda ada kelebihan dan kekurangannya. Satu-satunya perbezaan adalah penunggang 'expert' lebih berpengalaman dan mereka mampu memberikan maklum balas kepada mekanik mereka. Saya fikir itu satu aspek yang saya perlu perbaiki."

Apa kata pengurus pasukan, Rodney Peh
"Saya berpendapat Emir sudah menyesuaikan diri dengan jentera Honda serta pasukan kerana sejak Pusingan 5, dia mempamerkan aksi konsisten dengan menamatkan perlumbaan di samping mengutip mata. Walaupun kami masih belum menemui pelarasan paling jitu tapi Emir tetap buat yang terbaik untuk pasukan. Saya harap dalam masa terdekat, pasukan kami boleh memberi tentangan sengit kepada pencabar lain."


>PROFIL:
Abdul Muhaimin Roslan, 19 tahun
Shell Advance Yamaha Maju
Pencapaian - Juara Novis 2008

"Tahun lalu persembahan saya dalam musim sulung kategori Expert amat menyedihkan kepada kecederaan pergelangan tangan ketika satu sesi ujian pada awal 2009. Saya membuat kemunculan semula pada Pusingan 4 tapi saya bergelut untuk mengembalikan rentak. Tahun ini, saya memberitahu diri sendiri bahawa saya mahu mengubah keadaan dan saya tidak mahu menjadi penunggang pelapis lagi. Hasilnya, saya lebih berazam untuk mahu dan saya teruja untuk memperbaiki kelemahan saya.

"Musim ini, persembahan saya lebih baik dan saya muka melihat peningkatan prestasi. Ini kerana saya kini lebih memahami mengenai jentera saya dan saya mampu memberikan maklum balas tepat kepada mekanik selepas setiap sesi latihan. Saya percaya jika jentera anda pantas, anda boleh pergi lebih jauh. Dalam Cub Prix, jika jentera anda yang terpantas, anda memiliki kelebihan sekalipun jika anda kurang pengalaman."

Apa kata pengurus pasukan, Yong Yin Hoe
"Tahun ini, Muhaimin banyak meningkat. Kami berjaya menangani beberapa isu yang dihadapinya dan adalah bagus melihat dia kembali ke puncak prestasi. Dia menghabiskan banyak masa di bengkel saya dan kini dia lebih tahu mengenai pelarasan enjin. Kefahaman mendalamnya membantu dia memberikan informasi lebih terperinci mengenai pelarasan jentera bagi menyesuaikan dengan gaya tunggangannya. Kami juga akan berbincang mengenai kesilapannya pada pusingan terdahulu dan daripada situ, dia menyedari kelemahan dan cuba mengelakkan daripada mengulangi kesilapan sama."


>PROFIL:
Mohd Zaqhwan Zaidi, 15 tahun
Modenas Yuzy Pachie Racing
Pencapaian - Tiada

"Saya agak terkejut apabila dapat mengikuti rentak pelumba CP130 dan pada masa sama berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan. Keputusan itu memberikan saya keyakinan diri dan saya mahu terus meningkatkan kemahiran tunggangan.

"Saya akui saya masih mentah dan banyak yang perlu dipelajari. Sudah tentu ia akan membawa manfaat berlumba bersama pelumba lebih berpengalaman kerana saya boleh mempercepatkan proses pembelajaran dan memantapkan lagi gaya tunggangan."

Apa kata pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini
"Pusingan terdahulu adalah kali kedua Zaqhwan menunggang jentera 130cc dan saya fikir dia berjaya menanganinya dengan baik. Dia masih muda dan kurang pengalaman. Dalam usaha mempersiapkannya, satu daripada cara terbaik adalah meletakkannya berlumba bersama pelumba lebih berpengalaman dalam kategori CP130. Kami tidak jangkakan dia mampu mencabar pelumba utama tapi dia bekerja keras dan kami gembira dengan persembahannya."

No comments:

Post a Comment