DEBARAN pasti dirasakan tiga pelumba teratas kategori CP130 yang mahu mencipta sejarah memahat nama selaku juara CP130 pada pusingan penutup tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2010 di Padang Kota Lama pada 4 dan 5 Disember ini.
Norizman Ismail (Harian Metro SCK Honda Racing) yang menerajui carta keseluruhan dengan 146 mata diikuti Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju) dengan 145 mata. Sementara itu, rookie, Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Sprinta Yamaha Raceline) menduduki tangga ketiga dengan 144 mata.
Berbanding 2009, saingan Pusingan 10 ini lebih menarik memandangkan kesemua pelumba dipisahkan hanya dengan dua mata. Tahun lalu, juara Expert, Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) mara ke final di litar yang sama dengan kelebihan 14 mata.
Norizman, Fazli dan Hafizh perlu memenangi perlumbaan hujung minggu ini jika mahu dinobat juara CP130 2010.
Dengan misi berbeza, Norizman mahu menamatkan dominasi Yamaha dalam siri Kejuaraan Cub Prix dan muncul pelumba pertama memenangi mahkota kelas perdana dengan jentera Honda. Sebelum ini, pelumba berusia 25 tahun itu sudah memahat namanya dalam sejarah Cub Prix apabila muncul pelumba termuda memenangi gelaran Expert pada 2005 ketika berusia 20 tahun.
Fazli pula menyimpan hasrat merangkul gelaran ketiga selepas muncul juara pada 2007 dan 2008. Seandainya memenangi perlumbaan di Pulau Pinang hujung minggu ini, Fazli semakin menghampiri rekod pelumba legenda, M Meganathan yang memenangi kejuaraan empat kali pada 1994, 1995, 1999 dan 2000.
Hafizh yang baru berusia 16 tahun pula berharap mampu memecah rekod dicipta Norizman selaku juara termuda dan muncul pelumba Novis pertama memenangi kelas perdana.
Selain itu, Mohd Zamri Baba (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) yang menduduki tempat keempat dalam carta keseluruhan CP130 juga berpeluang bergelar juara di Pulau Pinang. Bagaimanapun, peluangnya tidak secerah tiga pelumba terbaik kelas ini memandangkan pada waktu ini dia kurang 19 mata (127 mata) berbanding Norizman.
Peminat sukan bermotor yang tidak berkesempatan berada di Pulau Pinang, berpeluang menyaksikan debaran pusingan terakhir kategori Wira, CP115 dan CP130 yang disiar secara langsung di Astro Arena (Rangkaian 801) pada hari Ahad bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Untuk maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di 03-8733 887 atau layari laman web www.malaysiancubprix.com.
No comments:
Post a Comment