KUALA LUMPUR - Pelumba Petronas Sprinta Yamaha AHM, Mohd. Ramdan Mohd Rosli diramal mampu mengesahkan kejuaraan kategori CP115 di Litar Sepang Utara, hujung minggu ini.
Saingan di Sepang merupakan pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia, sebelum ia melabuhkan tirainya di Padang Kota, Pulau Pinang.Meskipun misi Ramdan agak mudah, dia berdepan cabaran Mohd Rozaiman Mohd. Said, Mohd Adli Salihin dan Mohd Iskandar Raduan, yang turut berpeluang muncul juara.
Namun, kelebihan memihak kepada Ramdan, yang konsisten naik podium sepanjang musim ini dengan lima kali setakat ini.
Ekoran kejayaan itu, dia kini selesa mendahului kelas CP115 dengan 146 mata.
Jika dia meneruskan kecemerlangannya pada Pusingan 9 di Sepang hujung minggu ini, gelaran juara sudah pasti miliknya.
Jika pelumba berusia 14 tahun ini berjaya, dia bakal muncul pelumba termuda bergelar juara kategori tersebut dalam sejarah Cub Prix.
Ramdan kini berkelebihan 31 mata di hadapan pencabar terdekatnya, Rozaiman yang mewakili pasukan Motul Yamaha YY Pang, serta 38 mata dipisahkan dengan rakan sepasukan, Adli.
Dengan baki dua pusingan lagi, Ramdan juga mempunyai kelebihan 41 mata berbanding pelumba tempat keempat, Iskandar (Petronas Sprinta Yamaha Raceline).
Tugas Ramdan untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan di Sepang hujung minggu ini cukup mudah.
Pertama, dia perlu memenangi perlumbaan dan memburu tempat kedua sekiranya Rozaiman tampil menguasai perlumbaan.
Ramdan berkata: "Saya sedar cabaran yang bakal diharungi. Jika saya mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima pelumba terbaik dalam baki dua perlumbaan akan datang, ia sudah cukup untuk mengukuhkan peluang muncul juara.
"Begitupun, saya tetap memburu kejayaan podium pada perlumbaan di Sepang. Ia adalah sasaran utama saya."
No comments:
Post a Comment