jokisenja header

jokisenja header


Friday, November 19, 2010

GELARAN PASUKAN TERBAIK IMPIAN RACELINE

Biarpun menguasai kedudukan utama dalam saingan CP130, kedudukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline untuk muncul juara keseluruhan bagi kelas perdana itu belum terjamin dan mereka perlu menang apabila turun beraksi di Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Sepang Selatan, hujung minggu ini.

Membariskan dua pelumba, Azlan Shah Kamaruzaman dan pelumba muda, Hafizh Syahrin Abdullah, Petronas Sprinta Yamaha Raceline kini mendahului senarai kedudukan pasukan dengan 209 mata susulan kejayaan Hafizh yang menjuarai perlumbaan Pusingan 8 di Pekan, Pahang manakala Azlan di tempat ketiga.

Begitupun kedudukan selaku pendahulu belum selesa apabila dicabar hebat pasukan Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing yang hanya ketinggalan 12 mata untuk berada di tempat kedua diikuti Shell Advance Yamaha Maju, ketiga (183 mata).

Kedua-dua pasukan itu membariskan pelumba hebat Cub Prix seperti Md Zamri Baba yang pernah beraksi sebagai pelumba wild-card untuk cabaran Moto2 dan juara bertahan, Ahmad Fuad Baharudin (Petronas Sprinta Yamaha AHM Racing) dan juara dua kali kategori Expert, Ahmad Fazli Sham (Shell Advance Yamaha Maju). Justeru pengurus pasukan, Barry Leong memberi amaran supaya Azlan dan Hafizh tidak berasa selesa dengan apa yang mereka capai setakat ini.

"Perjuangan masih jauh. Masih ada dua perlumbaan lagi dan apa saja boleh berlaku dalam tempoh itu. Kami masih belum pasti menjuarai perlumbaan seterusnya jadi saya perlu mengingatkan Azlan dan Hafizh jangan sesekali berputus asa biar apapun yang terjadi," kata Barry.

Katanya, seluruh pasukan bekerja keras untuk baki dua perlumbaan seterusnya kerana sedar pasukan lawan akan melakukan yang terbaik untuk merangkul mata maksimum bagi menjamin kedudukan lebih selesa hingga tamat musim.

Mengulas mengenai pencapaian pelumbanya, Barry berkata: "Kedua-dua pelumba kami berada di landasan yang tepat. Hafizh merangkul kejayaan hatrik dan Azlan beroleh kedudukan podium ketika di Pekan.

"Mereka menunjukkan kemajuan dan ia tidak harus berhenti setakat ini. Kedua-dua pelumba itu terutamanya Hafizh kini berpeluang merangkul gelaran keseluruhan CP130 perlu memainkan peranan dengan bijak apabila turun berlumba di Sepang."

Ketika ditanya sama ada Petronas Sprinta Yamaha Raceline akan mengulangi kejayaan tahun lalu apabila mereka menggondol gelaran juara keseluruhan berpasukan untuk kategori Expert, Barry berkata: "Kami mempertaruhkan yang terbaik untuk mempertahankan gelaran itu. Namun tidak dapat dinafikan ia satu tugas yang berat kerana lawan amat kuat tapi kami akan berusaha memberikan yang terbaik."


Juara kategori CP130 akan merangkul trofi kejuaraan dan wang tunai RM10,000, naib juara RM5,000 manakala ketiga RM3,000.

No comments:

Post a Comment