jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, November 10, 2010

Syawal Buru Trofi


KEJAYAAN Mohd Syawalludin Md Zaki muncul juara di Pekan bulan lalu menyebabkan pasukan Modenas FortyOne Racing nekad menambah sebuah lagi trofi kejuaaran pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada 20 dan 21 November ini.
Bagaimanapun, sebelum boleh mencapai misi mereka, pengurus pasukan, Nor Azlan Amran mengingatkan ahli pasukan supaya bersiap sedia menghadapi perlumbaan yang penuh cabaran. Ini kerana formula pelarasan mereka yang efektif di litar Pekan tempoh hari tidak semestinya membawa pulangan sama di atas Litar Sepang yang lebih panjang (2,609 meter).

Dia berkata, selain menitik-beratkan aspek kelajuan, mekanik pasukan harus mengambil kira aspek ketahanan enjin serta faktor kepanasan cuaca dan bagaimana ia memberi kesan ke atas keberkesanan jentera.
“Pusingan 9 menjadi satu pertaruhan besar kerana kami perlu mengubah pelarasan jentera Modenas bagi menyesuaikannya dengan litar Sepang. Ini satu cabaran besar memandangkan kebanyakan jentera lain tidak menghadapi masalah ini. Oleh itu mekanik harus berusaha lebih keras bagi menyediakan pelarasan yang tahan lasak dan laju kerana Syawal memerlukannya untuk merebut podium minggu hadapan,” kata Azlan.

Azlan turut menyuarakan tanggungjawab Syawal dalam menyediakan pelarasan efisien: “Syawal berinteraksi baik dengan pasukan pada Pusingan 8 lalu. Ini membolehkan mekanik menyelesaikan banyak masalah dihadapi sebelum ini. Bagaimanapun, Sepang tidak sama seperti trek Cub Prix lain. “Oleh itu, saya mencadangkan dia menggunakan masa di trek sepenuhnya untuk lebih memahami kebolehan dan kekurangan jentera dan berikan maklum balas kepada mekanik supaya mereka boleh melakukan perubahan berdasarkan keselesaannya. Saya percaya jika Syawal bekerjasama dengan mekanik seperti di Pekan, dia mampu mengungguli perlumbaan di Sepang.” Apabila ditanya mengenai objektif pasukan sebelum musim ini berakhir, Azlan berkata: “Pada pendapat saya, sukar untuk mengejar tempat pertama walaupun masih ada 50 mata untuk direbut. Ini kerana Md Adib Rosley dan Md Azhar Abd Jalil merupakan dua pelumba yang konsisten. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kami akan berputus asa sebaliknya akan terus berusaha mencapai matlamat itu. Tetapi yang pasti, kedudukan tiga terbaik pasti dalam genggaman kami.” Adib yang mewakili pasukan Motul Yamaha YY Pang mengungguli carta keseluruhan kelas Wira dengan 141 mata diikuti rakan sepasukan Azhar, 133 mata. Syawal pula di tempat ketiga dengan 105 mata.

Peminat sukan permotoran yang mahu menyaksikan perlumbaan, tiket ada dijual di Maju Motor, Shah Alam (03-55108036), Ah Hong Motor, Kuala Lumpur (03-40417576), YY Pang Racing Motor, Shah Alam (03-51215821), Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Kajang (03-87348787), Raceline Motorcycle, Petaling Jaya (03-77852400, 77859500), SCK Motor, Shah Alam (03-55112594), Shahrol Yuzy Motor, Puchong (03-8318 6062), Liberty Motor, Puchong (03-80702227) dan Artree Motor, Petaling Jaya (012-6719522). Setiap pembelian tiket bakal menerima baucer Petronas bernilai RM10, buku program Cub Prix dan 1,000 penonton terawal pula akan menerima topi kejuaraan daripada penganjur.

No comments:

Post a Comment