jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, November 17, 2010

Peluang Fazli bergelar juara makin terancam

View Image

KUALA LUMPUR - Tekanan terus memuncak buat Ahmad Fazli Sham untuk mengukuhkan kedudukannya bergelar juara keseluruhan ketika Kejuaraan Cub Prix Malaysia semakin hampir melabuhkan tirainya.

Pusingan seterusnya iaitu pusingan kedua terakhir musim ini di Litar Sepang Utara pada 20 dan 21 November ini dan Fazli sudah tidak rela kehilangan mata dalam misinya untuk bergelar juara.

Dengan dua pusingan lagi untuk diharungi, juara kelas Expert bagi musim 2007 dan 2008 ini mula merasakan dirinya semakin terancam dengan kebangkitan yang dipamerkan oleh pencabar terdekat, Hafizh Syahrin Abdullah dan Norizman Ismail.

Dua pelumba ini semakin menghampiri kedudukan Fazli dengan perbezaan 15 mata.
Selepas mengharungi lapan pusingan setakat ini, pelumba pasukan Shell Advance Yamaha Maju ini mendahului kedudukan keseluruhan kelas CP130 dengan 136 mata.

Dia sekadar mempunyai kelebihan lapan mata ke atas Hafizh yang menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline. Hafizh kini menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 128 mata sementara pelumba pasukan SCK Honda Racing, Norizman berada di tempat ketiga dengan 121 mata.

Ketika perlumbaan memasuki fasa kedua musim ini, prestasi Fazli agak menurun, dan perubahan itu mula menghadirkan kebimbangan terhadap misinya mengejar gelaran juara keseluruhan.

"Memang tidak dinafikan tentang kepuasan apabila berada di kedudukan teratas, tetapi peluang saya sekarang masih belum selamat.

"Kegagalan menjejak kaki ke podium pada saingan fasa kedua ini telah mengubah segala-galanya terutama apabila Hafizh dan Norizman semakin garang melancarkan cabaran.

"Hafizh pula telah mencatat kemenangan hatrik sementara Norizman sudah dua kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Saya pula sekadar menduduki tempat ketujuh pada pusingan sebelum ini selain menduduki tempat keempat sebanyak dua kali," kata Fazli.
Begitupun, Fazli masih belum mahu menyerah dan berazam untuk mengembalikan prestasi cemerlangnya pada Pusingan 9 di Sepang hujung minggu ini.

Litar Sepang Utara adalah litar kegemarannya dan dia mempunyai rekod cemerlang di litar tersebut.
Dia telah meraih kejayaan sebanyak empat kali berturut-turut di litar berkenaan iaitu pada saingan musim 2006, 2007, 2008 dan 2009.

Kini dia mengharapkan, rekod cemerlang itu akan berulang musim ini.
"Saya perlu mengembalikan rentak kemenangan dan berharap untuk melakukannya di Sepang.
Jika ia mampu dicapai, saya tidak perlu bimbang kerana ia akan terus mengukuhkan kedudukan saya sebagai pendahulu keseluruhan.

"Keutamaan saya pada perlumbaan akan datang adalah untuk meraih kemenangan. Jika gagal melakukannya, strategi kedua saya ialah untuk menamatkan perlumbaan di hadapan Hafizh dan Norizman," kata pelumba berusia 28 tahun itu.

No comments:

Post a Comment