Cabaran ARRC kekal dengan jadual enam perlumbaan bagi musim 2011
KUALA LUMPUR - Masih segar dari sebuah musim yang menarik di mana pelumba Thailand, Decha Kraisat bergelar juara SuperSports 600cc dan Hadi Wijaya dari Indonesia meraih gelaran juara Underbone 115cc, Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) bakal kembali apabila promoter Kejuaraan Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd (TWMR) mengumumkan kalendar perlumbaan sementara 2011 hari ini.
Kejuaraan ini akan terus mengekalkan format enam pusingan yang bakal membawa kontinjen merentasi beberapa buah negara ke litar-litar terkemuka Asia sekaligus menguji tahap krebiliti pelumba dan kemampuan teknikal pasukan masing-masing.
Bagaimanapun, terdapat sedikit rombakan dari segi susunan venue tahun ini. “Musim ini, terdapat sedikit perubahan dalam susunan venue. Selaku promoter Kejuaraan, kami mendapati langkah ini amat wajar sekali bagi mengurangkan kos logistik sekaligus memudahkan pergerakan kontinjen dari satu lokasi ke lokasi lain," jelas Pengarah Promosi TWMR, Ron Hogg.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Litar Antarabangsa Sepang akan membuka tirai Kejuaraan ARRC PETRONAS 2011 pada 27 April hingga 1 Mei sebelum para pelumba bersaing di Litar Antarabangsa Sentul bagi pusingan kedua pada 9 hingga 12 Jun. Walau bagaimanapun, venue Pusingan 3 masih belum ditentukan dan ia akan diumumkan kelak.
Fasa kedua saingan musim ini pula akan menyaksikan para pelumba berdepan cabaran di Litar Antarabangsa Autopolis yang akan menjadi tuan rumah Pusingan 4 bermula dari 8 hingga 13 September diikuti perlumbaan di Litar Antarabangsa Zhuhai pada 13 hingga 16 Oktober bagi perlumban Pusingan ke-5.
Litar Antarabangsa Losail yang mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak selepas tampil buat kali pertama musim lalu, sekali lagi menjadi venue terakhir cabaran ARRC musim ini.
Ron menjanjikan saingan menarik bakal disajikan tahun ini ekoran lebih banyak pasukan baru bakal menyertai Kejuaraan ini.
“Kami menerima maklum balas positif berhubung penyertaan. Selain dari muka-muka lama, beberapa pasukan baru dari Filipina dan Jepun akan menyertai saingan musim ini.
“Penyertaan dua negara terbabit akan meletakkan sejumlah 25 hingga 30 buah jentera di atas grid saingan SuperSports 600cc sementara bagi kategori Underbone 115cc, terdapat sejumlah 25 buah jentera. Setiap pasukan dan pelumba mempunyai kredibiliti tinggi di negara masing-masing dan dengan kehadiran pengeluar jenama motosikal terkemuka dunia seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki, tidak dapat dinafikan musim ini pasti sengit dan menarik sekali!
Bercakap mengenai harapannya musim ini, Ron berkata,
“Saban musim, jumlah penyertaan bagi kategori SuperSports 600cc semakin meningkat. Lebih menarik lagi setiap pelumba yang beraksi cukup kompetitif malah ada di antara mereka cukup berbakat dan bersedia untuk beraksi di peringkat dunia. Sebagai contoh, pelumba Asia lebih cemerlang berbanding pelumba Moto2, Ricard Cardus dan pelumba Jepun Toshiyuki Yamahguchi di Litar Losail Disember lalu. Ini jelas menunjukkan kebolehan mereka.
“Saingan sengit ini turut memberi impak positif sekali gus memaksa pelumba-pelumba baru untuk bekerja lebih keras dan mencapai keputusan memberangsangkan. Andai aksi konsisten seperti ini diteruskan, tidak mustahil untuk kami lihat pelumba Asia bersaing di peringkat dunia kelak," ujar Ron.
“Sementara itu, kelas Underbone 115 akan terus kekal selaku sumber bagi mengenal pasti pelumba-pelumba muda berpontensi untuk ke pentas lebih tinggi.
"Beberapa pihak sebelum ini, pernah menyuarakan pandangan mereka memperkenalkan kategori yang lebih tinggi. Jelas, perubahan seperti ini akan membawa lebih banyak kebaikan tetapi kepentingannya tidak dapat dipertikaikan kerana hampir semua pelumba kami berasal dari kelas ini. Akan tiba suatu masa ia akan terpaksa diubah tetapi buat masa kini, perlumbaan kelas Underbone 115cc ini merupakan landasan terbaik bagi pembangunan pelumba Asia," tambah Ron lagi.
Dalam pada itu, Ron turut optimis bahawa siri kejuaraan ini mempunyai potensi untuk melebarkan sayapnya ke seluruh Asia.
“Kami mempunyai perancangan jangka panjang sejak siri perlumbaan ini bermula dan dengan pengesahan PETRONAS selaku penaja utama, kami berharap lebih banyak perkara mampu dilakukan selepas ini.
“Selain itu, kami turut menerima banyak pelawaan dari pelbagai negara untuk hos perlumbaan. Para peminat sukan bermotor boleh menjangkakan bandaraya seperti Singapura dan New Delhi bakal disenaraikan dalam kalendar perlumbaan dalam musim-musim akan datang,” tambah Ron.
*Kalendar Sementara siri Kejuaraan ARRC PETRONAS 2011
Pusingan 1 Litar Antarabangsa Sepang, MALAYSIA (27 April hingga 1Mei)
Pusingan 2 Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia (9 hingga 12 Jun)
Pusingan 3 -akan diberitahu-
Pusingan 4 Litar Antarabangsa Autopolis, Jepun (8 hingga 13 September)
Pusingan 5 Litar Antarabangsa Zhuhai, China (13 hingga 16 October)
Pusingan 6 Litar Antarabangsa Losail, Qatar (8 hingga 11 Disember)
No comments:
Post a Comment