jokisenja header

jokisenja header


Thursday, March 24, 2011

MISI SUKAR BUAT FORTYONE RACING




Misi sukar menanti pasukan Suzuki FortyOne Racing apabila ia tampil sebagai satu-satunya pasukan menggunakan jentera Suzuki bagi menghadapi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang bakal membuka tirainya di Stadium Utama Kangar, Perlis pada 26 hingga 27 March ini.

Berbanding 26 pasukan yang menggunakan jentera Yamaha dan Honda, pasukan yang berpengkalan di Terengganu ini merupakan pengguna tunggal jentera Suzuki di paddock sepertimana yang dilalui pasukan M-Seki Liberty Racing tahun lalu.

Namun demikian, pengurus pasukan, Nor Azlan Amran tetap yakin dengan kemampuan gandingan baru ini yang mempunyai rekod cemerlang dengan kejayaan legenda juara-juara Expert seperti  Wazi Abdul Hamid (1996), Hatta Turin (2001) dan M.Meganathan (1994, 1995, 1999 dan 2000) dalam sejarah Cub Prix.

Tambahan lagi, Suzuki turut mencipta nama di peringkat Asia apabila Mohd Affendi Rosli muncul juara Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) kategori Underbone 115cc pada tahun 2009.

"Sebagai pengguna tunggal jentera Suzuki tahun ini, di bahu kami terletak cabaran yang begitu besar. Bukan sekadar untuk menaikkan imej pasukan, malah kami perlu berusaha meletakkan diri kami di paddok sebaris dengan pengeluar-pengeluar lain. Wazi, Hatta dan Mega antara sebahagian pelumba yang telah membuktikannya sebelum ini, dan sekarang giliran kami pula," kata Azlan.

Azlan turut menambah, "Pada masa yang sama, kami juga bimbang apabila terpaksa bersaing dengan begitu banyak pasukan Yamaha dan Honda yang mendominasi Kejuaraan ini. Oleh itu, sangat penting bagi kami untuk memiliki strategi terbaik pada setiap pusingan namun kami cukup bersedia untuk menghadapi saingan musim ini."

Mengulas lebih lanjut, Azlan berkata mereka telah menetapkan sasaran untuk musim 2011 ini, "Kami mahu berada di podium sebanyak yang mungkin dalam kedua-dua kategori CP115 dan Wira, namun jika dapat menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik sudah cukup baik memandangkan ini musim pertama kami bersama Suzuki.

"Untuk mencapai objektif ini, kami telah melakukan beberapa sesi ujian pada bulan lepas. Prestasi enjin kami sudah begitu baik namun pada peringkat awal latihan pelumba-pelumba mengalami masalah daripada segi suspensi  jentera. Baru-baru ini kami telah berjaya memperbaiki masalah tersebut dan pelumba-pelumba kini semakin yakin dan selesa dengan jentera mereka. Kami cukup bersedia menghadapi pusingan pembukaan minggu ini.

Mohd Aidil Abdul Aziz dan Nor Hisham Amran akan membawa cabaran pasukan ini dalam kategori CP115 manakala tiga pelumba muda, Mohd Khairul Adli Azhar, Mohd Harith Ashraff Rosdi dan Mohd Hafiz Izzudin Shaari akan membawa cabaran dalam kategori Wira.
 

No comments:

Post a Comment