Penunggang SIC-AirAsia, Md Zulfahmi Khairuddin berhadapan halangan besar selepas mengalami kemalangan semasa sesi kelayakan GP Motor Dunia kelas 125cc di Litar Phillip Island pada 16 Oktober 2010.
SEPANG, (D5) - Berbekalkan semangat dan keyakinan yang lebih tinggi, pelumba negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin berazam mempamerkan prestasi yang lebih konsisten musim ini.
Disamping itu, Fahmi memilih untuk tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik tentang pencapaian keseluruhan dalam saingan Kejuaraan Dunia MotoGP 125 tahun 2011 ini.
“Keutamaan saya musim ini adalah konsistensi. Dan, saya percaya mampu melakukannya berdasarkan kepada pencapaian saya sepanjang tiga sesi ujian rasmi tahun ini. Tetapi, sesi itu juga menunjukkan kepada saya bahawa saingan 2011 ini adalah jauh lebih sengit dan pertarungan yang lebih mencabar.
“Bukan saja, akan terdapat beberapa pelumba Moto2 yang turun kelas ke 125 musim ini; tetapi juga kemasukan begitu ramai juara dan jaguh-jaguh daripada Kejuaraan Sepanyol … mereka ini mungkin lebih muda daripada saya; tetapi dari segi jumlah ‘mileage’ perlumbaan, mereka lebih jauh lebih banyak daripada saya.
“Kerana itu, saya rasa adalah lebih baik untuk saya menggunakan pendekatan perlumbaan demi perlumbaan; daripada untuk menyatakan hari ini secara senang; sasaran untuk mencapai ‘Top 15’ ataupun ‘Top 10’; mahupun ‘Top 5’ hanya kerana itu yang para peminat mahu dengar.
“Saya lebih suka bersikap realistik; tanpa memberikan harapan menggunung yang mungkin sukar untuk kita capai. Kita tengok dulu perlumbaan pertama dan beberapa perlumbaan lagi,” kata pelumba berusia pasukan AirAsia SIC AJO Racing, yang akan memulakan saingan musim kedua dalam kejuaraan dunia itu tahun ini.
Musim 2011, yang akan berlangsung dalam 17 pusingan untuk saingan kelas 125, bakal bermula di Doha dengan Grand Prix Qatar pada hujung minggu ini. Malaysia akan menganjurkan saingan kedua terakhir di Litar Sepang daripada 21 hingga 23 Oktober sebelum pertarungan penutup musim di Valencia pada 6 November.
Berasal dari Kampung Bukit Canggang, Banting dan kini berusia 19 tahun, cabaran Zulfahmi musim ini akan disokong oleh pasukan AJO Motorsports – juara dunia kelas 125 musim lepas bersama-sama dengan penunggang remaja sensasi Sepanyol Marc Marques, yang akan bersaing dalam kelas Moto2 musim ini.
No comments:
Post a Comment