jokisenja header

jokisenja header


Tuesday, March 29, 2011

PELUMBA MUDA MAMPU JADI PENCABAR




Kejayaan Hafizh Syahrin Abdullah menjuarai kategori CP130 2010 bagaikan satu inspirasi kepada pelumba-pelumba muda untuk menandingi kelibat pelumba-pelumba berpengalaman sewaktu bermulanya pusingan pembuka tirai Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 di Stadium Utama Kangar, Perlis minggu lalu.

Masih segar dengan kejayaan tersebut, seluruh warga Cub Prix tidak menjangkakan pencapaian Hafizh mampu dicabar dalam masa terdekat ini, namun itulah yang berlaku apabila Mohd Ramdan Mohd Rosli mengungguli kategori CP130 pada hari Ahad lalu.

Ramdan bukan sahaja menjadi pelumba termuda dalam kelasnya pada usia 15 tahun, namun turut membuktikan kemampuannya apabila muncul juara dalam perlumbaan CP130 sulungnya.

Di sebalik kejayaan yang dilakar pelumba PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha itu, seorang lagi pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidy turut mencuri perhatian ramai. Zaqhwan baru sahaja menyertai Kejuaraan Cub Prix tahun lalu memulakan kariernya dengan menyertai cabaran CP115 sebelum mengambil tindakan beralih ke kelas CP130.

Setia kekal bersama pasukan Pachie Yuzy Honda Racing, persembahannya pada tahun ini bermula dengan baik apabila menamatkan perlumbaan minggu lalu di tangga ketiga di belakang rakan seapsukan Ramdan, Mohd Zamri Baba.

Selain itu, beberapa pelumba di bawah usia 20 tahun turut beraksi dalam kelas yang sama seperti rakan sepasukan Zaqhwan, Mohd Amirul Musa dan dua pelumba Yamaha Maju Motor Racing, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan. Amirul dan Muhaimin turut mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya menamatkan perlumbaan di kalangan 10 pelumba terbaik.

Pengarah Promosi Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM), Ron Hogg berbangga dengan kejayaan Ramdan memenangi perlumbaan pembuka musim ini sambil menjelaskan, "Saingan musim ini bermula dengan begitu hebat ekoran kejayaan Ramdan memenangi pusingan pertama. Namun perlumbaan masih di peringkat awal dan saya pasti pasukan-pasukan lain serta pelumba-pelumba akan bangkit pada pusingan yang akan datang. Ia pasti menarik untuk menyaksikan bagaimana musim ini akan berlangsung dengan adanya begitu banyak pasukan di paddock," jelas Ron.

Mengenai perlumbaan pertama musim ini yang baru berakhir, Ron berkata, "Pusingan 1 menyaksikan seramai 144 pelumba mengambil bahagian berbanding hanya 129 pelumba pada musim lalu.

"Angka ini dijangka akan meningkat kepada 165 pelumba apabila perlumbaan satu pengeluar Yamaha akan menyertai kami pada Pusingan 3 nanti."

Tambahnya lagi, "Jumlah pasukan yang terlibat juga semakin bertambah. Ketika pelancaran musim 2011 baru-baru ini sebanyak 27 pasukan mengesahkan pembabitan mereka di dalam musim ini, namun angka ini meningkat kepada 30 pasukan sebaik Pusingan 1 bermula.

"Jelas ini menunjukkan Cub Prix berada di landasan yang tepat bukan sekadar landasan untuk pelumba menonjolkan bakat mereka, malah menjadi tempat kepada lahirnya pelumba-pelumba yang berbakat besar," katanya. 

No comments:

Post a Comment