KEJUARAAN Cub Prix AAM Malaysia Petronas meneruskan tradisi sebagai siri perlumbaan motosikal utama di negara dengan berlangsungnya pelancaran musim 2011 di Kuala Lumpur semalam.
Memasuki musim ke-18 penganjurannya, tahun ini bakal menyajikan saingan yang lebih kompetitif setelah 27 pasukan mengesahkan kehadiran mereka dalam kategori CP130, CP115 dan Wira.
Jumlah itu juga merupakan penyertaan terbanyak pasukan-pasukan yang pernah menyertai Kejuaraan Cub Prix berbanding hanya 21 pasukan yang berada di paddock tahun lalu. Ia sekali gus menyaksikan jumlah para pelumba turut meningkat.
Setakat ini seramai 83 pelumba dengan gabungan muka baru dan lama akan beraksi mewakili pasukan masing-masing sebaik perlumbaan pembuka musim berlangsung di Kangar, Perlis pada 26 dan 27 Mac ini.
Jumlah itu tidak termasuk penyertaan peserta persendirian, perlumbaan One-Make Race Yamaha dan Honda yang dijangka turut meningkat pada tahun ini.
Gembira dengan perkembangan dan pembangunan perlumbaan cub prix, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. (SAM), Ron Hogg mengalu-alukan kedatangan pelumba-pelumba baru.
Ron turut menyifatkan kehadiran lebih banyak pasukan di paddock musim ini akan dapat meningkatkan prestasi pelumba-pelumba walaupun sedar matlamat utama penganjuran Kejuaraan Cub Prix masih jauh dari- pada sasaran.
"Tahun 2010 merupakan musim yang begitu cemerlang apabila kita mempunyai juara di kalangan pelumba muda setelah pelumba berusia 16 tahun, Hafizh Syahrin Abdullah menjuarai kategori CP130.
"Mohd. Ramdan Mohd. Rosli yang baru berusia 14 tahun pula mengungguli kategori CP115 manakala Mohd. Adib Rosley, 16, menjuarai kategori Wira.
"Kesemua mereka mampu menguasai dan mencipta rekod ketika beraksi dalam kelas Open- Make Race. Namun, ini hanya sebahagian kecil daripada matlamat utama kita.
"Kita perlu terus progresif dalam usaha untuk menjadi 'kilang' kepada pelumba-pelumba yang dapat menarik minat terutama pasukan-pasukan luar negara," jelas Ron.
Tambah beliau lagi, secara realitinya, penganjuran Kejuaraan Cub Prix semakin hampir untuk merealisasikan apa yang disasarkan dan saingan musim ini akan meneruskan kesinambungan sedia ada.
"Pada ketika ini, kita berada di landasan yang tepat apabila setiap tahun kita dapat melihat pelumba-pelumba muda sekitar usia 13 tahun berada di garisan permulaan dan ini semua banyak di bantu dengan penganjuran kategori One-Make Race dan Wira.
"Selagi kita terus bekerja keras meneruskan usaha ini, saya yakin kita dapat melahirkan lebih ramai pelumba berbakat daripada Kejuaraan Cub Prix," katanya.
Ron turut berterima kasih kepada rakan-rakan korporat yang terus menunjukkan minat mereka terhadap Kejuaraan Cub Prix yang telah melahirkan pelumba- pelumba terbaik di Malaysia sejak 20 tahun lalu.
"Sudah tentu semua ini mustahil untuk dicapai tanpa bantuan semua pihak yang terbabit. Sebagai mewakili penganjur, saya mengucapkan terima kasih kepada penaja utama, Petronas dan rakan-rakan korporat yang berkongsi kepercayaan bersama kami.
"Dengan adanya landasan yang betul seperti mana penganjuran cub prix dan Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC), ini dapat membantu mengetengahkan pelumba negara untuk pergi lebih jauh," jelas Ron.
No comments:
Post a Comment