Sunday, March 27, 2011
PETRONAS SYNTIUM MOTO AHM YAMAHA CEMERLANG DI KANGAR
Usia muda tidak menghalang Mohd Ramdan Mohd Rosli menewaskan pelumba-pelumba lebih berpengalaman untuk muncul juara kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang berlangsung di Stadium Utama Kangar, Kangar, semalam.
Kemenangan seawal pusingan pertama itu membolehkan Ramdan memadamkan rekod Hafizh Syahrin Abdullah sebagai juara termuda kategori CP130 pada usia 15 tahun manakala Hafizh melakukannya pada pusingan keenam di Teluk Intan, tahun lalu ketika berusia 16 tahun.
Juara CP115 tahun 2010 ini juga bagaikan bersedia untuk sekali lagi memadamkan nama Hafizh yang mencipta rekod sebagai juara dua kategori secara berturut-turut ketika memenangi CP115 pada tahun 2009 dan CP130 pada tahun lalu ketika nama Hafizh tidak berada dalam kalendar kejuaraan tahun ini kerana memberi tumpuan penuh terhadap perlumbaan SuperSports 600cc.
Ramdan, 15, menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10 minit 53.301 saat menewaskan rakan sepasukan, Mohd Zamri Baba di kedudukan kedua yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 10:55.203s manakala pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi di tempat ketiga (10:59.292s ).
Bagaimanapun, Ramdan menjelaskan kemenangan itu sebenarnya turut banyak di bantu oleh Zamri. "Saya begitu berterima kasih kepada Zamri kerana banyak memberi tunjuk ajar terutama bagaimana untuk mengambil selekoh dengan lebih baik.
"Zamri cukup berpengalaman berbanding saya, di bahagian selekoh memang dia mempunyai kelebihan berbanding saya, jadi saya gunakan kelebihan di jalan lurus untuk mengatasinya," jelasnya sambil mengakui masih banyak yang perlu dipelajarinya musim ini.
Kemenangan 1-2 itu meletakkan pasukan PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha mendahului kedudukan Anugerah Berpasukan dengan mengumpul 45 mata manakala pasukan Pachie Yuzy Honda Racing di kedudukan kedua dengan 25 mata dan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing ketiga mengumpul 23 mata.
Pada saingan CP115 sebelum itu, rakan sepasukan Ramdan, Shahril Izzuwan Mohd Noor turut bergelar juara dengan mengetepikan saingan dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd Adli Salihin dan Zaidy Mohd Zaifaizal.
Shahril, 23, menamatkan perlumbaan dengan catatan 8:55.285s manakala Adli di kedudukan kedua dengan catatan 8:57.840s dan Zaidy ketiga dengan catatan 9:01.002s.
Bagaimanapun, Shahril yang memulakan perlumbaan di petak pertama ketinggalan kepada Zaidy di peringkat awal perlumbaan sehinggalah kesilapan yang dilakukan lawannya itu pada selekoh kelima membolehkannya kembali mendahului pelumba-pelumba lain sehingga ke garisan penamat.
"Saya cukup berpuas hati dengan perlumbaan hari ini, semuanya termasuk jentera saya dalam keadaan baik cuma saya bermula agak perlahan menyebabkan ketinggalan kepada Zaidy di peringkat awal perlumbaan sebelum berjaya memintasnya. Kemenangan di pusingan pertama ini dapat menaikkan semangat saya untuk terus mencipta kemenangan di pusingan berikutnya," jelasnya.
Pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing mendahului kedudukan Anugerah Berpasukan dengan mengumpul 28 mata diikuti pasukan PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha (25 mata) dan pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing 2 ketiga (25 mata).
Dalam kategori Wira bawah 17 tahun, Mohd Hafiza Rofa dari pasukan Faito YSP Racing muncul juara setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan 7:41.832s menewaskan Nurahmad Fariznazreen dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing (7:42.279s) kedua manakala pelumba MOS Malaysia Racing, Zulsyafiz Rosli di tangga ketiga (7:42.689s).
Hafiza, 15, tidak menyangka mampu muncul juara apatah lagi dengan kehadiran pelumba-pelumba berpengalaman terutama daripada pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing.
"Mungkin ketiadaan juara tahun lalu, Mohd Adib Rosley yang tidak dapat beraksi di perlumbaan akhir memberi sedikit kelebihan buat saya. Tetapi kemenangan ini bukan sekadar nasib kerana jika Adib ada pun, saya tetap akan mencuba sedaya upaya dan yakin dapat memberikan saingan kepadanya," jelasnya.
Dalam saingan Honda one-make race Honda Wave Junior, Mohd Arif Abd Rahman muncul juara dengan kepantasan 8:37.202s menewaskan Mohd Zulfakri Rosli di tempat kedua yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 8:37.912s manakala Mohd Fitri Mohd Sukor ketiga dengan catatan 8:41.720s.
Saingan kategori Persendirian, Wazir Abd Razak yang bermula di petak pertama tidak menghadapi masalah untuk muncul juara setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan 7: 57.593s, 0.396 saat di hadapan Mohd Fhahmin Abd Razak yang berada di kedudukan kedua.
Jauh ketinggalan di belakang, Ahmad Aswad Sahifulantkras muncul pemenang tempat ketiga setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan 8:16.989s.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment