jokisenja header

jokisenja header


Wednesday, March 16, 2011

Vulcan 900 lebih selesa


SEBUTLAH apa saja tetapi setiap kali membicarakan mengenai jentera kategori 'easy rider', sudah tentu ramai yang mengaitkannya dengan penunggang yang lebih berusia.
Apakan tidak, 'easy rider' memang direka untuk keseronokan menunggang dan bukannya untuk memecut sekali gus menjadikan ia tidak begitu digemari generasi muda yang rata-ratanya menginginkan jentera 'sports' atau 'super sports'.

Tetapi Vulcan 900 Klasik keluaran Kawasaki menyediakan lebih daripada sekadar nikmat menunggang walaupun daripada segi reka bentuknya, ia tidak banyak beza dengan edisi yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Kuasa yang lancar, rupa bentuk yang lebih 'bersih' dan digabungkan dengan enjin cukup lasak, tidak mustahil Vulcan 900 Klasik keluaran 2010 itu mampu menarik perhatian golongan tua dan muda.

Vulcan 900 Klasik pasti tidak akan menyukarkan penunggangnya malah mereka yang baru mengenali motosikal boleh mengendalikan jentera itu.

Apa lagi yang mahu dicari jika bukan motosikal yang selesa serta menjimatkan minyak tetapi menghamburkan kuasa seperti enjin berkembar V lebih besar? Berkedudukan lebih rendah dan menunggangnya bukanlah satu masalah walaupun daripada sekali pandang, anda mungkin berfikir ia terlalu berat untuk dikendalikan berdasarkan bentuknya yang agak gemuk.

Menerapkan penggunaan banyak plastik kilat termasuk di tangkinya, Vulcan 900 Klasik memasukkan unsur-unsur moden dan ternyata satu percubaan yang berjaya kerana ia menambahkan lagi kehebatan sedia ada.

Bagi penunggang yang pernah merasai kehebatan jentera Vulcan terdahulu, pastinya tahu hasil sentuhan jurutera Jepun pada buah tangan kali ini - masih lagi mengekalkan rupa lama tetapi ditambah dengan sentuhan moden iaitu prestasi empat injap setiap silinder, sejukan cecair yang lebih mantap serta pengimbang getaran enjin.

Menggunakan sistem 'belt' bagi menggantikan rantai, ia dilihat lebih bergaya dan ekonomi kepada pemiliknya dan paling menarik, ia lebih mudah dikawal pada setiap permukaan jalan kerana saiz tayar belakang yang lebih lebar berbanding adik-beradiknya yang lain.

Pelana depan Vulcan 900 Klasik ini lebih rendah dan tidak mengecualikan mana-mana saiz penunggang dan ia cukup selesa dalam apa jarak sekalipun. Kalau anda berasa tidak mempunyai ketinggian cukup untuk menunggang 'gergasi' ini, anda sebenarnya melakukan kesilapan.

Jika tercari-cari sebuah motosikal dengan rupa bentuk klasik tetapi tidak cukup modal mendapatkan Harley Davidson atau Titan, apa kata cuba ke bilik pameran Kawasaki untuk melihat Vulcan 900 Klasik.

Keistimewaan motosikal ini ialah harganya yang mampu milik dan jentera ini direka bentuk untuk membolehkan anda menunggang selama berjam-jam tanpa penat.



>Spesifikasi
Jenis enjin: Sejukan cecair, 4 lejang, Silinder V2, SOHC, 8 injap
Isipadu: 903 cm�
Gerek dan Lejang: 88.0 mm x 74.2 mm
Nisbah Mampatan: 9.5:1
Sistem bahanapi: DFI (Suntikan Digital)
Penghidup: Elektrik
Pencucuh: Bateri dan gegelung (dengan transistor)
Pelinciran: Pelinciran berpaksa (takungan basah)
Transmisi: 5-kelajuan
Klac: Cakera basah berbilang
Kerangka: Tubular, Double cradle
Tayar depan: 130/90-16M/C 67H
Tayar belakang: 180/70-15M/C 76H
Suspensi depan: Teleskopik
Suspensi belakang: Lengan ayun (Uni-Trak)
Brek depan dan belakang: Cakera tunggal
Panjang keseluruhan: 2,465mm
Lebar keseluruhan: 1,005 mm
Tinggi keseluruhan: 1,065 mm
Jarak antara roda: 1,645 mm
Kelegaan dari jalan: 135 mm
Tinggi tempat duduk: 680 mm
Berat kering: 253 kg
Muatan bahan api: 20 liter

No comments:

Post a Comment