Oleh HAIRULAZIM MAHMUD
TIADA yang lebih mengujakan apabila Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) menawarkan Versys serba baru kepada penulis untuk diuji kehebatannnya.
Reka bentuk terkini dan agresif motosikal berkuasa tinggi ini berbanding model 2009 sememangnya menarik perhatian sesiapa sahaja apabila ia meluncur seakan-akan Versys ini raja di jalan raya. Lebih ranggi.
Perbezaan yang amat ketara antara model terkini ini dengan keluaran 2009 ialah lampu utamanya. Berbanding lampu utama yang berbentuk kulit kerang sebelum ini, ia kini didatangkan dengan lampu utama berkembar yang lebih dinamik reka bentuknya.
Lampu brek belakang pula digantikan dengan bentuk baru yang lebih menarik menampakkan lagi ciri-ciri maskulinnya - berbanding bentuk bujur sebelumnya.
Kedudukan tempat duduknya yang agak tinggi iaitu 845 milimeter (mm) - memerlukan penunggang yang memiliki sekurang-kurangnya ketinggian 168 sentimeter bagi membolehkan kaki menjejak tanah semasa berhenti tanpa sebarang masalah hilang keseimbangan - sesuai dengan kelasnya iaitu dual purpose atau dwi kegunaan.
Tetapi yang menariknya, laman web rasmi Kawasaki Malaysia tidak meletakkannya dalam kategori dual purpose, mungkin hakikatnya model motosikal lasak ini sememangnya sukar dikategorikan.
Nadinya yang tersohor seantero dunia iaitu enjin berkembar selari 650cc dengan suntikan bahan api. Kuasanya tidak pernah mengecewakan kepada sesiapa sahaja yang memerah pendikitnya.
Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 47 kilowat (kW) @ 8,000 rpm dan kuasa kilas 61Nm @ 6,800 rpm dengan enam transmisi.
Anugerah
Pemenang anugerah 2008 Motorcycle Of The Year Award (Motorcyclist, Amerika Syarikat) ini sememangnya mudah ditunggang.
Walaupun ia motosikal berkuasa tinggi tetapi mereka yang tidak pernah berpengalaman menunggang jentera jenis itu sekali pun, tidak akan bermasalah untuk mengawalnya, memang amat mudah.
Dengan berat hanya 209 kilogram, ia agak ringan berbanding model dual purpose lain. Ternyata kuasa maksimum enjinnya mampu membawa Versys dengan kuasanya seolah-olah tiada penghujungnya.
Kuasa tork Versys benar-benar terasa pada kilasan rendah dan pertengahan membuatkan ia jentera yang sesuai sebagai tunggangan untuk menikmati perjalanan jauh.
Memetik kata-kata penunggang ‘otai’: “Anda tidak perlu memiliki motosikal bersesaran sehingga ribuan cc untuk mengelilingi dunia, maka Versys adalah pilihan terbaik.”
Di jalan raya terbuka, Versys menawarkan tunggangan yang menyeronokkan dengan pengawalan menakjubkan selain penggunaan bahan api yang sangat menjimatkan.
Bagi model 2011 ini, Versys didatangkan dengan cermin depan yang boleh diubah ketinggian secara manual mengikut kesesuaian penunggang menyerlahkan lagi ketangkasan, dinamik dan fleksibel prestasinya.
Hakikatnya menunggang Versys sama ada di permukaan jalan mana sekalipun atau keadaan termasuk menempuh kesesakan lalu lintas di bandar raya yang sibuk, mengembara ke seluruh pelosok dunia, meluncur di lebuh raya atau menempuhi laluan lasak, motosikal ini mampu melakukannya.
Dipasang secara komponen terurai (CKD) di kilang Kawasaki di Thailand. Kesemua kehebatan Versys dapat dimiliki dengan harga tidak sampai RM38,000 yang didatangkan dengan warna hitam - motosikal kuasa tinggi paling murah - di atas jalan! Harga yang bisa membuatkan pencinta motosikal berkuasa tinggi tidak tidur malam.
No comments:
Post a Comment