Penunggang Repsol Honda racing riders Casey Stoner mengambil selekoh semasa sesi ujian pra-musim terakhir yang berlangsung di Litar Losail, Qatar pada 12 Mac 2011.
KUALA LUMPUR - Tiga penunggang Honda Repsol racing memakai lilitan hitam di lenggan mereka semasa sesi pra-musim terakhir di Qatar sebagai tanda berkabung dan sedih ke atas tragedi yang melanda rakyat di Jepun.
Pasukan berpengkalan di Jepun tersebut tiba di Litar Losail sejak Jumaat lalu sebagai persediaan terakhir sebelum perlumbaan MotoGP 2011 membuka tirainya.
"Saya sangat sedih selepas mendengar berita tragedi yang melanda Jepun dan mahu mengucapkan takziah di atas apa yang telah berlaku di sana. Doa saya sentiasa bersama penduduk Jepun," ujar Dani Pedrosa.
Pedrosa menamatkan sesi ujian tersebut dengan catatan masa terpantas 1 minit 56.271 saat semasa pusingan ke-28 daripada 41 serta pada masa sama turut menguji sistem suspensi dan keupayaan enjin pada jenteranya.
Manakala bagi penunggang dari Australia Casey Stoner pula dia lebih banyak menguji casis pada jenteranya dan lebih fokus kepada persediaan sebelum perlumbaan. Catatan masa Stoner kurang 0.143 saat daripada rakan sepasukan Pedrosa.
Stoner turut meluahkan perasaan sedihnya ke atas tragedi di Jepun, "Saya bersyukur apabila semua krew sempat tiba dengan selamat serta tiada kejadian buruk menimpa ibu pejabat HRC di Saitama."
Seorang lagi penunggang HRC Andrea Dovizioso turut menguji beberapa aspek persediaan dalam perlumbaan dan bahagian-bahagian elektronik.
"Saya mengucapkan takziah ke atas perkara yang menimpa rakyat di Jepun. Saya berharap mereka dapat menempuh saat sukar ini dengan tabah dan sabar," tambah Dovizioso.
No comments:
Post a Comment