JUARA CP115 2010, Mohd Ramdan Mohd Rosli mencipta kejutan walaupun pertama kali beraksi apabila mencipta masa terpantas kategori CP130 pada sesi ujian masa Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Utama Kangar, Perlis, Sabtu.
Pelumba PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha itu mencatatkan kepantasan 44.842s untuk mengatasi rakan sepasukan, Mohd Zamri Baba yang berada di kedudukan kedua. Mohd Zamri ketinggalan 0.043s di belakang Mohd Ramdan manakala pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing mencatatkan 44.895s untuk berada di kedudukan ketiga.
Keputusan itu meletakkan Mohd Ramdan, 15, sebagai pelumba terakhir daripada 10 pelumba yang akan beraksi pada pusingan SuperPole yang pertama kali diperkenalkan pada musim ini.
“Banyak perubahan terpaksa saya lakukan untuk sesi ujian masa ini berbanding dengan latihan bebas pagi tadi. Sebagai pelumba senior, Zamri banyak membantu dengan memberi tunjuk ajar kepada saya. Saya gembira kerana kami dapat bekerjasama dengan begitu baik.
“Tentang SuperPole esok walaupun mencatat masa terpantas, ia tidak banyak membantu saya. Sesiapa sahaja berpeluang untuk berada di petak pertama tetapi saya tetap akan cuba yang terbaik untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan tiga terbaik,” jelasnya.
Saingan kategori CP115 menyaksikan Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha mencipta masa terpantas dengan catatan 44.409s menewaskan dua pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Mohd Adli Salihin dan Mohd Azhar Abd Jalil.
Mohd Adli mencipta masa kedua terpantas dengan catatan 44.784s manakala rakannya, Mohd Azhar di kedudkan ketiga, hanya ketinggalan 0.114s di belakang.
Bagi pelumba PETRONAS Syntium Moto AHM Yamaha itu, walaupun berjaya mencipta masa yang lebih baik berbanding Mohd Adli dan Mohd Azhar, kedua-dua pelumba itu mungkin mampu menggagalkan hasratnya untuk bergelar juara pada pusingan pembukaan ini.
“Kedua-dua pelumba ini merupakan pesaing utama saya kerana mereka cukup berpengalaman dalam kategori CP115, tetapi saya yakin mampu berada di kelompok tiga pelumba terbaik pada perlumbaan sebenar nanti.
“Setakat ini, saya cukup berpuas hati dengan jentera saya dan juga catatan masa yang dilakukan, jika keadaan litar esok kering, saya yakin dapat mencipta masa yang lebih baik,” jelasnya.
Sementara itu dalam kategori Wira, Mohd Adib Rosley dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing melaungkan amaran awal kepada pelumba-pelumba lain di mana beliau tidak akan melepaskan takhta juara miliknya tahun lalu dengan mudah.
Adib yang sudah beraksi dalam kelas ini sejak tahun 2008 menjadi pelumba tunggal mencatat masa di bawah 46 saat apabila mencipta masa terpantas 45.946s mengatasi Mohd Amin Mohd Azahar yang mencatat masa kedua terpantas, 46.352s dan Mohd Hafiza Rofa ketiga terpantas dengan catatan masa 46.787s.
“Sesi ujian masa hari ini agak mencabar akibat keadaan litar yang licin, saya juga terjatuh apabila gagal mengelak minyak yang tumpah di atas jalan, namun mujur mekanik saya dapat membetulkan kerosakan dengan cepat untuk saya meneruskan perlumbaan dan berjaya mencatat masa terpantas selepas itu di pusingan ke-11.
“Perlumbaan esok saya lihat Amin dan Zulsyafiz Rosli mampu menghalang hasrat saya untuk muncul juara di sini, tetapi saya yakin dapat sekurang-kurangnya mencapai keputusan podium,” katanya.
Peminat-peminat jangan lepaskan peluang menyaksikan perlumbaan akhir bermula pada 1.35 petang di Stadium Utama Kangar, Perlis hari ini.
Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS www.malaysiancubprix.com.
No comments:
Post a Comment