TEKANAN kini dapat dirasakan pelumba dan pasukan bertanding kategori CP130 apabila Kejuaraan Cub Prix AAM Petronas 2011 membuka tirainya di Litar Stadium Utama Kangar, Perlis, hari ini.
Musim ini membawa cabaran baru buat golongan pelumba elit ini kerana juara CP130 2010, Hafizh Syahrin Abdullah tidak akan pulang untuk mempertahankan makhotanya. Sebaliknya, anak muda berusia 17 tahun ini akan memberikan fokus penuh kepada Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) dalam kategori SuperSports 600cc.
Bagaimanapun, saingan kelas ini dijangka tetap sengit dengan kehadiran remaja berusia 15 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli. Hanya dalam masa dua tahun, Ramdan berjaya melonjakkan namanya dari perlumbaan one-make Yamaha, ke Wira sebelum bergelar juara CP115 musim lalu. Pembangunan kariernya yang cukup progresif menjadikannya salah satu pencabar utama musim ini dan dia akan muncul di grid bersama-sama rakan sepasukan, Mohd Zamri Baba dari Team Petronas Syntium Moto Yamaha AHM Racing. Sementara itu, pasangan adik-beradik Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fazrul Sham kembali berganding bahu bersama pasukan baru, Pennzoil Fastrac Racing selepas semusim beraksi berasingan. Dua pelumba berpengalaman ini digeruni kerana kerjasama di atas dan di luar trek.
Lebih menarik, veteran Ahmad Fuad Baharudin turut beralih kem musim ini. Pelumba berusia 32 tahun ini mengenakan warna Yamaha Maju Motor Racing bersama-sama rookie, Abdul Muhaimin Roslan dan Mohd Taufiq Roslan.
Azlan Shah Kamaruzaman turut beralih citarasa jentera dari Yamaha ke Honda, menggantikan Mohd Suhadi Ali Rahmat dalam pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing untuk berganding bahu dengan Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli. Puas hati dengan pencapaian tahun lalu yang menyaksikan Norizman muncul naib juara keseluruhan CP130 dan tempat ketiga anugerah berpasukan, pasukan Harian Metro TEQ SCK dipimpin Soong Chee Kieong ini berharap bergelar juara keseluruhan musim ini bersama Honda.
Satu lagi pasukan satelit Honda dalam kategori CP130 membabitkan Pachie Yuzy Honda Racing. Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini akan mengetengahkan pelumba muda Mohd Zaqhuan Zaidi dan Mohd Amirul Musa walaupun kurang berpengalaman berikutan kejayaan mereka menamatkan penghujung saingan musim lalu dalam kelompok 10 pelumba terbaik. Persembahan mereka yang jelas memberangsangkan itu sudah cukup untuk meyakinkan Yuzy mereka sedia berentap dengan pelumba-pelumba elit.
Lebih menarik lagi, Mohd Iskandar Raduan kembali bersaing dengan pelumba kelas atasan selepas semusim berlumba di dalam kelas CP115. Pelumba pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline yang menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lalu dengan rakan sepasukan Mohd Ridwan Bakri akan menggantikan tempat kosong yang ditinggalkan Azlan dan Hafizh.
Tahun ini juga bakal menyaksikan tiga pasukan baru hadir di paddock. Pasukan itu adalah Global Bike Rock Oil Racing yang diwakili Elly Idzliaikmal Ilias dan Mohd Farid Ahmad, RS Motobert Racing dengan Mohd Rafie Nasir dan akhir sekali Mohd Saufi Othman dari Saufi Motor Racing.
Dengan barisan pelumba dan pasukan yang berwibawa ini, peminat Cub Prix boleh mengharapkan musim menarik dan penuh aksi.
No comments:
Post a Comment