jokisenja header

jokisenja header


Thursday, May 5, 2011

YAMAHA CKJ SUKIMI IDAM PODIUM DI GELANGGANG SENDIRI



Yamaha CKJ Sukimi mahu menamatkan penantian kemarau podium mereka pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 yang bakal berlangsung di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, 13 dan 14 Mei ini.

Pengurus pasukan, Mohd Azmi Mansor berkata Pusingan 3 ini akan menjadi medan kebangkitan pasukan tersebut memandangkan kebanyakan masalah yang dialami sebelum ini di Kangar (Pusingan 1) dan Batu Kawan (Pusingan 2) telahpun diselesaikan.

Tambahan pula, pelumba CP115, Mohd Syawalludin Mohd Zaki serta pelumba Wira, Ahmad Afif Amran dan Che Ku Amriq Asyraff bermotivasi tinggi memandangkan beraksi di halaman sendiri bakal memberikan mereka kelebihan berbanding pelumba-pelumba lain. Rakan sepasukan Syawalludin, Mohd Haiekal Akmal Zakaria merupakan satu-satunya pelumba dalam pasukan ini yang bukan berasal dari Terengganu.

"Pelbagai kesulitan terpaksa kami hadapi pada dua pusingan lalu. Kebanyakan masalah ini menyentuk aspek teknikal jentera dan ini sekaligus membawa impak pada pelumba. Ekoran itu, Syawal dan Haiekal tidak dapat menamatkan perlumbaan kategori CP115 di Batu Kawan- keputusan yang kurang memberangsangkan berbanding keputusan mereka pada pusingan pembuka musim di Kangar.di mana mereka berjaya muncul di kalangan lima pelumba terbaik. Walau bagaimanapun, kami telah pun mengenal pasti punca masalah tersebut dan kami berharap para pelumba boleh  menainki podium minggu hadapan.

Tambahnya lagi, "Selain Haiekal, kesemua pelumba kami berasal dari Terengganu. Mereka berasa lebih yakin dan begitu bersemangat memandangkan keluarga dan rakan-rakan akan hadir untuk memberikan sokongan," katanya.

Ketika ini Syawalludin dan Haiekal berada di kedudukan ke-10 dan ke-11 dalam kedudukan keseluruhan kategori CP115 dengan 13 dan 11 mata masing-masing manakala Che Ku Amriq dan Afif berada di kedudukan ketujuh dan ke-17 dengan pungutan 13 dan enam mata bagi kategori Wira.

Apabila ditanya pelumba mana berpeluang cerah untuk mencuri podium minggu hadapan, Azmi memberikan respon dan berkata, "Pada waktu ini Afif merupakan pelumba terbaik kami. Prestasinya semakin meningkat pada setiap sesi latihan dan dia telah menimba pengalaman berharga bersaing bersama-sama para-pelumba peringkat Asia dalam Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) minggu lalu.Kami turut berharap Haiekal yang menyertai kategori sama akan turut menyerlah di Terengganu.

Pada masa sama, Azmi turut berharap agar keempat-empat pelumba tidak berasa terlalu yakin memandangkan perlumbaan selepas ini pastinya lebih tegang di atas litar yang cukup teknikal tersebut.

"Syawal, Haiekal, Afif dan Che Ku Amriq perlu memberi sepenuh tumpuan minggu depan kerana bukan hanya mereka bertiga yang mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. 

"Selain itu, Pusingan 3 ini merupakan perlumbaan berbentuk teknikal dan hanya pelumba yang mempunyai kemahiran serta daya tumpuan tinggi untuk menempatkan diri di kelompok hadapan jadi mereka perlu lebih bersedia," jelas Azmi.

Antara pelumba-pelumba Terengganu lain yang inginkan kedudukan podium termasuklah Mohd Rozaliman Zakaria (ZAR Racing Motorsports) dan Tengku Amirul Haffiruddin (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline).

Issued by Global PR Sdn Bhd
Copyright to Safe Aim Mutual Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment